Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Didik pemimpin negeri komitmen terhadap hak Orang Asli'

Pakatan Harapan (PH) perlu mendidik pemimpin kerajaan negeri mengenai pelaksanaan hak tanah adat Orang Asli meskipun perkara itu terkandung dalam manifestonya, kata bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Muhammad Sha'ani berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bahawa negeri itu tidak mengiktiraf tanah adat bagi mana-mana kumpulan etnik termasuk Orang Asli.

"Walaupun parti itu (PH) mengeluarkan manifesto tetapi menteri besar bagi setiap negeri memiliki pemahaman atau pendirian mereka sendiri yang tidak benar-benar mencerminkan komitmen yang dibuat oleh kerajaan atau parti berkenaan hak adat Orang Asli.

"Jadi (PH) sebenarnya harus mengambil inisiatif untuk mendidik mereka (pemimpin-pemimpin negeri) untuk menghormati prinsip bahawa semua Orang Asli memiliki hak adat atas tanah tempat mereka tinggal," kata Muhammad Sha'ani kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa hak orang Orang Asli terhadap tanah adat telah diiktiraf secara sah di bawah Akta Orang Asli 1954, namun menghadapi masalah dari segi pelaksanaannya.

Terdapat juga ketetapan mahkamah yang memerlukan perhatian kerajaan negeri untuk membuat tinjauan, penandaan dan mewartakan tanah adat pribumi, katanya.

"Mahkamah adalah salah satu institusi yang melaksanakan undang-undang, jadi sebagai menteri besar, beliau (Ahmad Faizal) perlu memahami perkara itu," katanya.

"Kita memerlukan peranan pejabat peguam negara, pejabat perdana menteri dan menteri besar untuk memahami janji-janji yang dibuat di bawah manifesto parti (PH) dan mengambil langkah-langkah untuk melaksanakan dasar-dasar berkenaan hak-hak adat Orang Asli.

"Tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa kita tiada (tanah adat) dan semua itu. Sila rujuk Akta Orang Asli 1954," katanya.

Laporan Suhakam

Muhammad Sha'ani merupakan pesuruhjaya Suhakam ketika badan itu mengeluarkan laporan siasatan mengenai hak tanah pribumi pada tahun 2013.

Laporan itu telah menggariskan 18 cadangan berkaitan enam isu utama.

Enam isu yang diketengahkan dalam laporan itu ialah pengiktirafan hak tanah adat pribumi, remedi bagi kehilangan tanah, menangani masalah pembangunan tanah dan ketidakseimbangannya, menghalang kehilangan tanah adat penduduk pribumi di masa depan, menangani isu pentadbiran tanah, dan mengiktiraf tanah sebagai pusat kepada identiti orang asli.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, gabungan itu berkata mereka akan berusaha untuk melaksanakan cadangan yang terkandung dalam laporan Suhakam tersebut.

Mereka juga mengatakan bahawa laporan itu akan dibawa untuk perbahasan di Parlimen pada tahun pertama pentadbiran mereka, walaupun perkara itu tidak dilaksanakan.

Muhammad Sha'ani juga berkata beliau tidak melihat sebarang tindakan daripada kerajaan PH untuk melaksanakan janji pilihan raya mereka seperti termaktub dalam manifesto mereka setakat ini.

"Parti itu membuat janji, mengiktiraf (hak tanah adat) dan sebagainya, tetapi sebagai sebuah kerajaan, mereka tetap tidak mempunyai komitmen yang nyata untuk melaksanakan cadangan itu, mahupun manifesto mereka.

"Tidak ada gunanya setiap orang respons (kepada laporan itu) tanpa bersetuju untuk melaksanakan cadangan itu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS