BERITA Malaysiakini

Mahkamah arah 18 pelajar UPNM bela diri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meerintah 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri atas pertuduhan membunuh dan bersubahat untuk membunuh pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.

"Selepas meneliti dan memeriksa kenyataan saksi sepanjang kes pendakwa, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri," katanya.

Seorang lagi pelajar UPNM, Muhammad Akmal Akif Alias, yang dituduh secara sukarela mencederakan mangsa, dibebaskan dari semua tuduhan.

Daripada 18 pelajar itu, enam diarahkan untuk membela dan didakwa mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh dan bersubahat menyebabkan kematian Zulfarhan di asrama UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. Semua mereka berusia 23 tahun.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai 12 lagi, semua mereka juga berusia 23, didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Seksyen 330 pula adalah berkenaan bersubahat dan mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka yang dituduh itu adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka dituduh menyebabkan kecederaan terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, antara jam 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

[Baca berita penuh]