Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Zakir Naik - Ditelan mati emak, diluah mati bapa, kata PM
Diterbitkan:  Jul 31, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kedudukan pendakwah tersohor dunia Dr Zakir Naik ibarat "ditelan mati emak, diluah mati bapa" dan meyebabkan Malaysia dalam keadaan serba salah.

Dalam temu bual bersama rangkaian berita antarabangsa dari Turki, TRT World, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum tidak sepatutnya menerima personaliti seperti Zakir Naik.

“Di Malaysia, kami mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kami tak mahu sesiapa pun jua datang dan menyatakan pandangan ekstrem terhadap agama lain, atau tentang hubungan kaum (di negara kami).

“Dari sudut itu, kami tak boleh terima dia. Tapi dari sudut lain pula, susah hendak menghantarnya ke mana-mana tempat lain, kerana banyak negara tak mahu dia,” katanya.

Mahathir ditanya tentang pandangan India yang menyifatkan Zakir sebagai seorang ekstremis sementara negara-negara Barat melabelnya sebagai penyebar kebencian.

Sementara itu, semalam Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan akan lebih berhati-hati terhadap permohonan ekstradisi, termasuklah terhadap Zakir Naik.

Menjelaskan lanjut, Saifuddin mengulang pendirian Dr Mahathir yang bertegas Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India, sekiranya pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Tiada dalam notis merah Interpol

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir Naik.

Zakir yang kini bertaraf penduduk tetap Malaysia sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis parlimen pada 11 Julai lalu memaklumkan Zakir tiada dalam senarai notis merah (RCN) Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

Semalam, Zakir berkata keputusan Interpol untuk menolak untuk mengeluarkan notis merah terhadapnya membuktikan bahawa dakwaan yang dikenakan terhadapnya adalah "rekaan dan dirancang".

“Kamu tidak boleh mengheret Interpol ke dalam permainan politik perkauman kamu. 

"Dakwaan kamu memerlukan bukti dan sebab mengapa ia enggan keluarkan notis merah adalah kerana agensi India gagal memberikan bukti," katanya.

Dia turut berkata bahawa Interpol jarang menolak mengeluarkan RCN dalam kes-kes berkaitan keganasan.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS