Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saya dilahirkan pada 31 Julai 1987. Dakapan seorang ibu muda yang berusia 23 tahun menyambut saya ke dunia ini dengan penuh kasih sayang dan menaruh pelbagai harapan untuk masa depan.

Berbeza dengan dakapan ibu, sebagai seorang pemandu lori, yang lazimnya terpaksa bekerja bertungkus lumus tanpa mengira sama ada di bawah sinaran panas terik atau hujan lebat, ayah jarang berada di rumah. Namun dia tidak pernah gagal menghidangkan makanan untuk kami.

Ibu saya adalah seorang suri rumah, tetapi bagi kami sekeluarga, dia adalah segala-galanya.

Dibesarkan dalam keluarga yang berpegang kuat dengan fahaman Kristian, kami tanpa gagal hadir di gereja pada hampir setiap Ahad. Kami enam beradik diberkati dengan kasih sayang dan sokongan daripada masyarakat Kristian.

Namun ada kalanya rumah tangga kami menyaksikan perselisihan faham, tetapi kami semua masih rapat dan sentiasa membantu satu sama lain.

Apa yang berlaku?

'Wawasan 2020' adalah sesuatu yang tidak dapat kami lupakan kerana ia telah diajarkan kepada kami sejak di bangku sekolah.

Ketika saya masih muda, saya sering tertanya-tanya bagaimana kehidupan saya menjelang atau pada tahun 2020. Orang jenis apa yang saya akan jadi?

Semasa berusia 9 atau 10 tahun, saya menyimpan cita-cita mahu menjadi seorang juruterbang. Saya tidak pasti mengapa saya mahu menjadi juruterbang.

Bergerak ke hadapan - 20 tahun kemudian - saya kini berumur 31 tahun, dan menulis surat ini sebagai seorang banduan yang menunggu hukuman mati di penjara Changi Singapura atas kesalahan mengedar 51.48g heroin.

Saya dijatuhkan hukuman mati pada 2 Mei 2017, dan pada Februari 2018 rayuan saya untuk hukuman saya diringankan telah ditolak.

Pada 3 Nov, 2018, saya dibaptiskan di penjara oleh paderi Tan Boon Teck. Saya diberi nama Kristian baru - Paul Silas.

Saya berasa diberkati, dan hati saya gembira. Saya berdoa kepada Tuhan untuk membantu saya mendapat sijil kerjasama dari timbalan pendakwa raya, yang akan meringankan hukuman mati saya.

Terdapat amalan di penjara, jika kita ingin menulis kepada mahkamah, peguam negara atau peguam, bahawa kita mesti meminta Borang B, dan juga menyatakan sebab-sebab mengapa kita mahu menulis kepada pihak berkenaan.

Kemudian kita akan menunggu beberapa hari untuk mendapatkan kelulusan dari OC atau penguasa penjara. Justeru, penjara dan pegawainya akan tahu bahawa saya ingin menulis kepada peguam negara dan mahkamah.

Tetapi sebelum saya sempat berbuat apa-apa, pada pagi 17 Mei, “kematian dan utusannya” tampil di hadapan saya.

Ketukan pegawai penjara di pintu sel mengejutkan saya. Sekitar tujuh pegawai berdiri di hadapan sel saya.

Sebaik melihat mereka, saya tahu mengapa mereka di situ. Setiap kali mereka mahu melaksanakan hukuman mati ke atas seseorang, mereka akan berkumpul seperti itu, kerana ini adalah amalan mereka.

Saya berdiri dan berjalan ke pintu, dan penguasa memberitahu saya bahawa petisyen pengampunan saya telah ditolak oleh presiden Singapura, dan mereka akan “mencabut nyawa” saya pada Jumaat depan, iaitu pada 24 Mei.

Para pegawai penjara lain berdiri tegak sambil menunggu reaksi saya.

Ketika itu, pelbagai perkara berlumba-lumba dalam fikiran saya. Semua harapan, semangat, keghairahan, keinginan, keimanan dan segala-galanya hilang pada masa itu. Saya berdoa kepada Tuhan, bertanya kepada-Nya "apakah ini pengakhirannya?"

Saya terus bertanya kepada diri sendiri bagaimana saya akan mengatasi perkara ini. Setakat ini, saya “kuat” untuk keluarga saya. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu “mempersiapkan” mereka untuk menghadapi kesulitan ini bersama saya, dan selepas itu, tanpa saya.

Saya terpaksa mengkebumikan segala impian dan keinginan saya untuk membantu orang lain kerana ini tidak lagi dalam tangan saya.

Selepas itu, saya hanya menumpukan perhatian pada persediaan keluarga saya, menulis surat kepada semua adik-beradik, dan bersiap untuk perbicaraan saya.

Setiap perkataan yang saya tulis kepada keluarga terasa begitu penting dan sebegitu bermakna pada masa ini, dan saya perlu memilih dengan teliti bagaimana saya akan menulisnya, tetapi saya tidak dapat mencari kata-kata itu atau kemampuan untuk berbuat demikian.

Sepanjang Jumaat, saya terus berdoa, dan mempersiapkan diri untuk bercakap dengan keluarga. Saya tidak tidur malam itu. Hati saya tidak pernah terasa begitu berat dan saya hampir tidak boleh menutup mata.

Keesokan harinya, keluarga saya berada di sini untuk melawat saya. Wajah mereka begitu suram dengan mata yang merah akibat menangis. Saya dapat memberitahu bahawa mereka begitu keliru, takut dan kecewa.

Saya beritahu diri sendiri supaya menjadi “kuat” untuk mereka. Perkara pertama yang kami lakukan adalah berdoa selama kira-kira 10 minit. Saya mengetuai bacaan doa itu.

Kami masih dalam keadaan terkejut. Dua jam pertama adalah begitu sukar dan kejam. Ia berlalu dengan begitu perlahan. Kemudian, kami mula memecah keheningan dengan meluahkan perasaan masing-masing.

Lawatan pada Ahad lebih baik. Kami semakin tenang dan mula berkongsi semua kenangan bersama. Kami ketawa, kami menangis, kami menyanyikan lagu sambil memuji Tuhan.

Memandangkan Isnin berikut adalah cuti umum, keluarga saya mendapati sukar untuk mendapatkan mana-mana peguam untuk memfailkan afidavit saya. Ia adalah hujung minggu yang panjang dan beberapa peguam yang kami cuba hubungi berada di luar negara.

Apabila saya ingin memfailkan usul saya di mahkamah pada Selasa, keluarga saya mengaturkan seorang pesuruhjaya sumpah untuk berjumpa dengan saya petang itu.

Jeannette terbang dari Indonesia ke Singapura pada petang itu dan datang dengan segera untuk berjumpa dengan saya sebaik mendarat, kerana kami telah menyerahkan butirannya ke penjara pada hari Isnin.

Kami berdepan lebih banyak masalah dari hari Isnin hingga Khamis. Antaranya, kelewatan dokumen, ketiadaan bilik, isu fotokopi dan akses kepada dokumen undang-undang. Paling menjengkelkan pihak penjara Singapura tidak membenarkan peguam Malaysia melawat saya.

Sejak mendapat berita berhubung pelaksanaan hukuman mati ke atas saya, fizikal dan mental saya amat terganggu. Untuk empat hari pertama, saya kehilangan selera makan dan tidur kurang dari tiga jam setiap malam.

Malangnya, kami tidak dapat mencari mana-mana peguam, jadi saya terpaksa mewakili diri saya di Mahkamah Rayuan pada hari Khamis.

Pada malam Rabu, 22 Mei 2019, saya menulis sehingga jam 3 pagi untuk mempersiapkan diri untuk perbicaraan.

Permintaan saya untuk akses kepada peguam Malaysia saya, N Surendran dinafikan oleh Penjara Changi tanpa sebab yang sah. Sekiranya saya dapat berjumpa dengannya, sekurang-kurangnya dia boleh membimbing saya tentang bagaimana saya dapat mempersiapkan diri.

Masa yang saya habiskan dengan ibu dan ayah saya adalah begitu menyedihkan. Pada ketika itu saya menyedari betapa saya harus menghargai masa bersama mereka. Sungguh sukar untuk menerangkannya dengan tepat tentang apa yang kami rasakan.

Pada jam 2.30 petang pada 23 Mei 2019, dengan hati yang berat, saya melangkah ke Mahkamah Rayuan untuk mewakili diri sendiri.

Dalam perjalanan dari penjara ke mahkamah, saya berdoa di dalam van. "Tuhan, saya hanya mempunyai awak sekarang, tolong dengarkan doa saya."

Ketika melangkah masuk ke mahkamah, kaki saya menggigil. Saya terpaksa melakukan ini sekarang, atau saya tidak lagi dapat peluang ini. Fikiran saya tidak tenteram, saya kuatkan diri dan bersiap untuk keadaan paling teruk.

Tuhan maha kaya! Ketika duduk di kandang tertuduh, saya melihat dua peguam muda datang dan berjalan ke arah saya.

Apabila melihat mereka, saya lega dan tahu bahawa saya mempunyai peguam yang akan mewakili saya sekarang.

Too Xing Ji bercakap dengan saya, meminta kelulusan untuk mereka bertindak sebagai peguam saya. Beban di hati saya diangkat.

Too dan Lee Ji En merayu bagi pihak saya dengan usaha terbaik mereka. Mereka begitu rendah hati dan berdedikasi. Mereka juga mempertaruhkan kerjaya mereka untuk menyelamatkan nyawa saya, walaupun saya hanya orang yang tidak dikenali.

Terdapat sekitar enam hingga tujuh peguam yang cuba membantu saya. Mereka berbincang dan membuat cadangan, dan cuba mencari alasan kukuh untuk rayuan. Apa yang telah terjadi pada hari itu adalah mukjizat dari Tuhan.

Sekitar 4.05 petang, mahkamah memerintahkan pelaksanaan hukuman mati ditangguhkan.

Saya amat berterima kasih kepada peguam dan hakim. Para peguam datang kepada saya dan berkata, "Kamu tidak akan digantung esok. Kami akan datang dan berjumpa dengan kamu. "

Saya memegang tangannya dan berkata, "Terima kasih, saya tidak mampu luahkan ucapkan terima kasih buat kamu."

Pada malam itu saya masih tidak tidur, tertanya-tanya tentang peristiwa lampau yang menyaksikan saya berada di sini.

Pada 24 Mei, saya masih hidup. Saya berdoa seperti biasa, dan ketika membuka kitab, ayat pertama yang saya lihat adalah 'Tuhan menyelamatkan nyawa saya'.

Selepas beberapa siri usaha untuk mendapatkan sijil kerjasama daripada pendakwa raya, permintaan saya masih dinafikan dan ditolak.

Sijil ini akan menyelamatkan saya daripada digantung. Saya dengan rendah diri memohon kepada semua yang membaca surat ini untuk menyelamatkan nyawa saya dan memberikan saya peluang kedua.

Saya tidak pasti jika saya berhak untuk hidup, tetapi saya tahu bahawa saya tidak patut mati, untuk segala-galanya dan semua orang di sekeliling saya, untuk masa depan, dan bagi yang lain yang mungkin dalam keadaan sama seperti saya sekarang.


P PANNIR SELVAM adalah warganegara Malaysia yang menunggu hukuman gantung sampai mati di Singapura.

Pandangan yang dinyatakan adalah pengarang / penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

ADS