Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Kepimpinan politik Melayu berada dalam situasi yang amat parah dan tenat. Bagi sesiapa yang peduli tentang nasib dan masa depan Malaysia tentu menyedari hal ini. Politik Melayu dan negara Malaysia tak dapat dipisahkan.

Ini bukan sahaja kerana demografi masyarakat Melayu yang merupakan majoriti dalam negara ini tetapi juga kerana sejarah. Malaysia terbentuk daripada sejarah peradaban yang dibina oleh kerajaan-kerajaan Melayu silam.

Kerana itu jugalah kepimpinan tingkat teratas politik Malaysia baik ketika terbentuknya negara moden Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963, semuanya dibarisi oleh pemimpin-pemimpin Melayu.

Belum pernah lagi dalam sejarah negara Malaysia pemimpin tingkat teratas iaitu Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) datangnya dari komuniti bukan Melayu.

Keadaan ini nampaknya akan berterusan kecuali wujudnya perubahan di tingkat struktur negara serta kesedaran masyarakat yang melangkaui batas kaum.

Selagi struktur negara, institusi masyarakat dan kesedaran awam masih dipengaruhi sentimen kaum, maka selagi itulah pola kepimpinan Malaysia akan tetap diwarisi oleh kepimpinan politik Melayu.

Namun pewarisan kepimpinan politik Melayu buat negara Malaysia pada waktu ini berada di dalam situasi yang tidak menentu. Keadaan ini berlaku adalah kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak dapat (atau barangkali tidak mahu) memberikan tarikh yang pasti berkenaan bilakah peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan beliau itu akan dilaksanakan.

Berjanji menyerahkan kuasa tanpa adanya tarikh yang pasti adalah mencipta ketidakstabilan. Ketiadaan tarikh yang pasti cenderung melahirkan pelbagai spekulasi. Ini tidak terelakkan kerana hubungan antara Mahathir dan Anwar bukanlah seperti isi dan kuku.

Sebaliknya sejarah hubungan mereka ditandai oleh permusuhan politik sehinggakan Anwar pernah hampir maut dipukul oleh Ketua Polis Negara, Rahim Noor ketika dalam tahanan polis sehingga mendatangkan lebam teruk di mata beliau.

Ketika ditanya wartawan tentang mata lebam Anwar itu, Mahathir menjawab mungkin Anwar yang menumbuk mukanya sendiri.


Anwar Ibrahim
Dengan sejarah hubungan yang sebegitu rupa antara Mahathir dan Anwar, tidak keterlaluan untuk kita katakan antara mereka saling curiga-mencurigai.

Baru-baru ini ketika Mahathir ditanya oleh wartawan Bloomberg semasa beliau di Bangkok apakah beliau mempercayai Anwar, beliau mengelak untuk memberikan jawapan.

Apakah sebab-musabab ketidakpercayaan Mahathir kepada Anwar itu, hanya Mahathir yang boleh menjawab. Masyarakat awam hanya bisa membuat spekulasi berdasarkan sejarah tingkah-laku Mahathir sebelumnya.

Apakah kerana Mahathir mempercayai bahawa Anwar terlibat di dalam aktiviti homoseksual?

Kalau itulah sebabnya bagaimana pula dengan Azmin yang didakwa sebagai orang yang terlibat di dalam video seks bersama pasangan lelakinya Haziq?

Kalau Anwar tidak dipercayai kerana aktiviti homoseksual, mengapa pula pada kali ini Mahathir masih mempercayai Azmin? Justeru seks bukanlah sebab kenapa Mahathir tidak mempercayai Anwar.

Atau apakah sebab sebenar ketidakpercayaan Mahathir kepada Anwar adalah kerana Anwar pernah menolak idea supaya Petronas melakukan ‘bail-out’ ke atas Konsortium Perkapalan Berhad kepunyaan anak Mahathir, Mirzan ketika Malaysia dilanda krisis kewangan 1997-1998 dahulu?

Justeru itu apakah sebenarnya Mahathir tidak mempercayai bahawa Anwar akan melindungi kepentingan ekonomi serta perniagaan anak-anak beliau, Mirzan dan Mokhzani, jika Anwar menjadi PM nanti?

Tapi ketidakpercayaan Mahathir kepada Anwar bukanlah kes yang terpencil. Anwar bukan TPM yang pertama dicantas oleh Mahathir. Sebelum Anwar terdapat beberapa lagi calon PM yang tersungkur.

Musa Hitam dan Ghafar Baba adalah dua TPM yang gagal menjadi PM. Justeru, tindakan Mahathir menafikan Anwar daripada menjadi PM pada tahun 1998 dahulu bukanlah sesuatu yang di luar daripada pola tingkah-laku politik Mahathir.

Musa Hitam

Malahan ketidakpercayaan Mahathir bukan hanya tertumpu kepada bakal pengganti beliau seperti Anwar, tetapi juga kepada mereka yang telah pun menjawat jawatan PM seperti Abdullah Badawi dan Najib Razak, yang turut tidak terkecuali daripada dicantas dan dijatuhkan oleh Mahathir.

Bukanlah tujuan tulisan ini untuk membincangkan sama ada wajar atau tidak wajar bekas-bekas TPM dan bekas-bekas PM yang lalu dicantas atau dijatuhkan. Mungkin ada bekas PM lalu yang memang wajar dijatuhkan. Tapi bukan itu tujuan tulisan ini.

Tujuan tulisan ini adalah untuk memperlihatkan bagaimana tingkah-laku politik Mahathir yang telah mencantas dan menjatuhkan pemimpin-pemimpin politik Melayu sama ada secara langsung atau tidak langsung di masa lalu telah menyumbang kepada krisis kepimpinan Melayu yang cukup tenat dan parah sekarang ini.

Sebelum Mahathir menjadi PM buat kali pertama, sistem pewarisan kepimpinan politik Melayu umumnya berlangsung secara lancar dan licin.

TPM yang dilantik pasti akan menjadi PM. Tidak ada yang rumit. Mudah dan lancar. Justeru itu, setelah Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan, timbalannya Abdul Razak Hussein menggantikan beliau. Dan setelah Abdul Razak meninggal dunia, timbalannya Hussein Onn pula yang naik memegang jawatan PM. Dan setelah Hussein meletakkan jawatan, timbalannya Mahathir pula naik menggantikan beliau.

Dan setiap seorang daripada PM Malaysia sebelum Mahathir, tidak ada seorang pun yang memegang jawatan lebih daripada 10 tahun.

Hanya Mahathir sahaja yang memegang jawatan PM selama 22 tahun. Dan untuk kekal memerintah selama 22 tahun tentunya banyak intrik politik dan cantas-mencantas perlu dilakukan agar beliau terus kekal berkuasa. Di masa pemerintahan Mahathir jugalah tiga timbalannya gagal menjadi PM.

Daripada empat TPM di zaman pemerintahan Mahathir iaitu Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi, hanya seorang sahaja yang berjaya menjadi PM iaitu Abdullah. Itu pun kemudiannya Abdullah turut dijatuhkan melalui campurtangan Mahathir.

Musa Hitam dan Ghafar Baba – kedua-dua tokoh politik Melayu ini setelah jatuh, terus hilang daripada persada politik nasional.

Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang masih kekal bertahan. Yang lainnya habis dicantas oleh sang algojo kepimpinan politik Melayu, Mahathir Mohamad.

Kesan daripada tindakan Mahathir ini dapat dilihat sekarang, di mana kepimpinan politik Melayu berada dalam situasi yang amat parah – bangsa Melayu ketandusan kepimpinan politik yang berwibawa dan dipercayai.

Selain daripada Mahathir sendiri dan juga Anwar, sudah tidak ada lagi sosok kepimpinan politik Melayu yang dilihat berwibawa, disenangi oleh kebanyakan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama serta diyakini mampu untuk memimpin Malaysia.

Katakanlah Mahathir sedar bahawa tindakan politik beliau selama ini telah menyumbang kepada krisis kepimpinan politik Melayu sekarang dan beliau akhirnya menyerahkan jawatan PM kepada Anwar seperti yang dijanjikan.

Soalannya siapa pula selepas Anwar? Apakah ada sosok kepimpinan politik Melayu yang berwibawa dan layak selepas Anwar?

Atau katakanlah Mahathir masih tetap tidak mempercayai Anwar dan Haziq pula berjaya di ‘turn-over’ untuk menuduh Anwar sebagai dalang yang akhirnya mengakibatkan Anwar sekali lagi diketepikan dari jawatan PM.

Soalannya kalau Anwar berjaya diketepikan oleh Mahathir, siapakah yang akan menggantikan Mahathir sebagai PM? Apakah ada sosok kepimpinan politik Melayu selain daripada Anwar yang layak menjadi PM?

Dari kepimpinan Pakatan Harapan – apakah sosok pengganti Mahathir adalah Azmin Ali yang masih terpalit dengan kes video homoseks? Atau Muhyiddin Yassin daripada Parti Bersatu yang hanya punya 13 kerusi Parlimen?

Atau Mohamad Sabu Presiden Parti Amanah yang hanya punya 11 kerusi Parlimen? Atau Shafie Afdal Presiden Parti Warisan sebuah parti bukan berbentuk nasional yang hanya bertanding di negeri Sabah sahaja? Atau Dr Wan Azizah Ismail sebagai PM wanita pertama Malaysia?

Dari kepimpinan pembangkang pula – apakah sosoknya Ahmad Zahid Hamidi? Mohammad Hassan? Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li? Abdul Hadi Awang? Abang Jo Sarawak? Atau Najib Razak semula?

Apakah nama-nama sosok pemimpin Melayu yang dinyatakan di atas ini punya wibawa, mendapat kepercayaan daripada majoriti masyarakat pelbagai kaum dan agama serta diyakini ramai mampu untuk memimpin dan membawa Malaysia maju ke hadapan?

Atau memandangkan terlalu sukar untuk mencari sosok kepimpinan politik Melayu yang berwibawa kerana ramai daripada mereka dahulunya telah dicantas oleh sang algojo Mahathir di sepanjang pemerintahan beliau, apakah akan berlaku penyusunan semula kepimpinan politik Melayu melalui pembentukan pakatan baru atau ‘snap election’?

Hanya Mahathir yang bisa menentukan. Sungguh ironi. Hanya dengan 13 kerusi yang dimiliki oleh parti beliau di parlimen tapi Mahathir masih punya kuasa penentu. Sama ada Mahathir terlalu hebat atau lawan-lawan beliau terlalu lemah.

Sungguh! Bangsa Melayu berhadapan dengan krisis ketandusan kepimpinan politik yang cukup parah dan tenat.


HAFEZ DARWIS adalah seorang pembaca Malaysiakini dan juga pemerhati politik semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS