Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah cadang wakil rakyat diberi latihan peka sensitiviti jantina
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 1:30 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan latihan sensitiviti jantina bagi wakil rakyat yang dipilih dan dilantik.

Cadangan itu hadir selepas senator PKR Mohd Imran Abd Hamid mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

"Meskipun Mohd Imran sudah memohon maaf dan menarik semula kenyataannya, saya berpendapat sesi pemekaan tentang jantina perlu diadakan, terutamanya bagi perwakilan yang dipilih dan dilantik, agar sebab dan akibat keganasan terhadap wanita boleh difahami dengan lebih baik bersama," kata Wan Azizah dalam kenyataan media hari ini.

Bercakap di Dewan Negara, Mohamad Imran sebelum ini mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Wan Azizah berkata kenyataan senator itu mengejutkan dan sikap menyalahkan mangsa adalah tidak boleh diterima, serta tidak mempunyai tempat dalam Malaysia baru.

"Sebagai senator PKR, Mohd Imran perlu lebih bertimbang rasa dan sensitif kepada pendirian parti berhubung keganasan terhadap wanita, termasuk gangguan dan keganasan seksual.

"Pemimpin politik, sama ada yang dilantik atau dipilih, perlu memainkan peranan dalam memastikan wanita dan lelaki, dilindungi daripada keganasan seksual," katanya.

Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menolak cadangan Mohd Imran dan menyifatkan ia sebagai "tidak munasabah dan menghina wanita" serta menggesa senator itu menarik balik kenyataan berkenaan.

Wanita PKR Sabah menggesa Mohd Imran digantikan kerana dikatakan sudah beberapa kali membuat kenyataan menghina wanita.

Mohd Imran, yang pernah menjadi ahli parlimen Lumur, pada 2015 di Dewan Rakyat berkata "pakaian seksi" atlit boleh membawa kepada zina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS