Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian siasat larangan pekerja solat selain waktu makan
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 2:09 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata akan menyiasat dakwaan sebuah syarikat di Klang, Selangor melarang pekerjanya bersembahyang selain pada waktu makan tengah hari.

“KSM sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu berkaitan hak-hak pekerja dan akan menyiasat aduan-aduan sebegini melalui Unit Tindakan Pematuhan Perburuhan (IP) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Jika didapati bersalah tindakan akan diambil sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kementerian itu dalam kenyataannya petang ini.

Kementerian juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan berita palsu dan menunggu laporan yang tepat dari agensi berita yang bereputasi untuk mengesahkan sebarang dakwaan sebelum menyebarkannya.

Dalam kenyataan tersebut, kementerian turut membangkitkan laporan New Straits Times yang melaporkan penafian larangan tersebut dari syarikat itu.

Palsu, asli atau tarik balik?

NST memetik pengurus syarikat Hond Tat Industries Sdn Bhd yang enggan namanya didedah, menafikan memo yang tular di media sosial itu.

Bagaimanapun, selain laporan NST, terdapat beberapa laporan berita yang melaporkan respons berbeza berhubung larangan solat tersebut.

Utusan Online melaporkan bahawa pekerja kilang plastik tersebut mengesahkan kesahihan memo larangan itu.

Menurut pekerja tersebut, selepas kekecohan tercetus susulan memo yang tular itu, pihak pengurusan syarikat telah menukar waktu rehat bagi menyelesaikan isu tersebut.

Free Malaysia Today yang memetik jurucakap syarikat itu pula berkata, pihak pengurusan telah menarik semula memo itu, memandangkan terdapat ketidakpuasan hati dari kakitangannya.

“Semua pekerja marah,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

Katanya, memo tersebut belum ditampal di papan kenyataan syarikat.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi syarikat itu.

Lihat Komen
ADS