Tiada mana-mana kilang atau syarikat di Perak dikesan melarang pekerja Islam masing-masing untuk menunaikan solat, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah negeri, Asmuni Awi.
Beliau berkata setakat ini keadaan di Perak adalah baik dengan majikan dan pekerja saling mengamalkan persefahaman berhubung kewajipan solat ke atas umat Islam.
"Perak tiada kes mengatakan ada kilang atau syarikat swasta melarang petugas mereka solat sama ada solat lima waktu sehari atau solat Jumaat, tidak dengar lagi (larangan solat)," katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian tauliah pegawai masjid (imam/bilal) bagi daerah Kuala Kangsar, Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim).
Asmuni mengulas laporan media mengenai sebuah kilang beg plastik di Taman Perindustrian Sungai Kapar, Klang, Selangor didakwa melarang pekerja Islam mereka menunaikan solat dan sesiapa yang melanggar arahan itu akan didenda RM500.
Menurut Asmuni, perkara sedemikian tidak wajar berlaku dan pihak syarikat perlu mempunyai pengurusan yang betul bagi mengelakkan gangguan operasi kerja sekiranya pekerja Islam menunaikan solat.
Pada masa sama, katanya pekerja juga perlu memanfaatkan peluang waktu solat sebaiknya bagi memastikan kerja mereka tidak terjejas.
"Waktu rehat diatur, misalnya kalau waktu zohor itu dah semestinya waktu makan tengah hari jadi tiada masalah untuk solat.
"Untuk waktu (solat) lain, mereka diberikan pelepasan 10 minit tapi secara bergilirlah," katanya.
Mengenai solat Jumaat pula, Asmuni berkata memadai bagi majikan swasta untuk memberi pelepasan mengikut waktu yang sesuai.
"Kalau kerajaan kita tahu pelepasan dari 12.30 tengah hari hingga 2.45 petang. Kelaziman waktu solat itu sejam antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, maka (majikan swasta) bagi pelepasan pada waktu itu sahaja cukup, tidak timbul masalah gangguan perjalanan kilang," katanya.
- Bernama
