Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC sahkan terima aduan isu larangan solat waktu kerja

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesahkan menerima aduan daripada pekerja di Hond Tat Industries Sdn Bhd (Hond Tat) berhubung memo larangan sembahyang sewaktu bekerja.

Pengurusan kilang yang berpangkalan di Klang itu sebelum ini menafikan mengeluarkan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor, berkata seorang pekerja Hond Tat telah menghubungi beliau pada 30 Julai dan bertanya mengenai hak pekerja berhubung waktu sembahyang.

Keesokan harinya, Abdul Halim menerima imej memo yang dikatakan, yang menyatakan bahawa pekerja tidak dibenarkan sembahyang kecuali pada waktu makan tengah hari dan akan didenda RM500 untuk setiap kesalahan.

Menyedari kemungkinan berlaku pencabulan Akta Pekerjaan 1955, Abdul Halim berkata dia segera mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenai memo itu.

"Sebaik sahaja saya menerimanya, pagi itu kami menghubungi JTK Putrajaya, yang kemudian mengarahkan JTK Selangor untuk menyiasat perkara itu," katanya.

Malaysiakini telah melihat aduan MTUC.

Imej memo berhubung waktu sembahyang itu sebelum ini tular di media sosial dan mendapat kecaman, dengan rata-rata menyifatkan ia melanggar hak keagamaan pekerja terutama bagi yang beragama Islam.

Semalam, pengurus operasi Hond Tat yang tidak dinamakan dilaporkan memberitahu New Straits Times bahawa memo 30 Julai itu "palsu", dengan menyorot bahawa ia tidak mempunyai sebarang tandatangan.

Pengurus juga mengatakan bahawa memo itu boleh menjadi tindakan "sabotaj" oleh pekerja yang tidak puas hati.

Bagaimanapun, kakitangan yang tidak dikenali kemudiannya dikatakan memberitahu Utusan Online bahawa memo itu benar-benar wujud dan telah ditarik balik selepas ia mendapat kecaman di media sosial.

Bagi Abdul Halim, dia berkata dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa memo itu sebenarnya dikeluarkan oleh kilang berkenaan.

"Walaupun ia tidak ditandatangani, notis itu dipaparkan di papan notis di kilang. Ia tidak dihantar kepada pekerja individu tetapi didedahkan sebagai notis am kepada semua kakitangan [...]

"MTUC percaya memo itu dikeluarkan i syarikat itu kerana ia mempunyai kepala surat syarikat dan ia dilihat di premis syarikat," katanya.

Jelasnya, maklumat berkenaan berdasarkan laporan daripada pekerja Hond Tat.

Abdul Halim berkata dia kini berpuas hati berhubung isu itu selepas syarikat itu menarik balik larangan berkenaan.

Hond Tat sudah membuat laporan polis menafikan mengeluarkan memo berkenaan dan polis Klang Utara telah mengambil kenyataan daripada pihak pengurusan syarikat itu.

Polis dan Kementerian Sumber Manusia menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai isu itu.

Percubaan sebelum ini oleh Malaysiakini untuk menghubungi Hond Tat tidak berjaya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS