Pemimpin Bersatu Dr Rais Yatim menyifatkan kelestarian budaya Melayu akan dapat dilaksana jika menyingkirkan "Arabisme" dalam budaya itu.
Beliau menyeru pejuang budaya supaya bersama-sama menyingkir budaya itu kerana tidak ramai yang berani bercakap tentang mengeluarkan "Arabisme" daripada Islam.
“Sekarang Arab Saudi bunuh Yemen. Di mana letaknya budaya Islam? Siapa nak jadi contoh lagi? Saya nak cadangkan supaya Malaysia dan Indonesia khasnya memberi contoh hebat kepada dunia tentang budaya masa depan.
“Ini pemikiran besar kita. Kita tak boleh hanya bercakap tentang sintaksis dan sebagainya tetapi kita tidak membawa mesej kebesaran bangsa-bangsa kita,” katanya seperti dipetik portal berita FMT.
Menurut laporan portal itu lagi, Rais berkata usaha melestarikan budaya Malaysia mesti bermula dengan bahasa.
Mengambil contoh sebuah buku tentang tatabahasa bahasa Melayu, Rais berkata di dalamnya tertera perkataan seperti adverba, adjectiva dan morfalia.
“Rupa-rupanya ‘grammar’ ini sudah 15 tahun, dah berakar umbi. Marah pula sekarang bercakap orang putih. Macam mana tak bercakap orang putih, bahasa kita dah 'diorangputihkan'," katanya lagi.
Rais berkata usaha memulihara bahasa Melayu sukar tetapi mesti dicuba, dan untuk itu Malaysia mesti kembali kepada asas dalam pemikiran dan perbuatan.
“Mohon kita supaya kita jangan diarabkan tetapi diIslamkam. Mesti kita cari bagaimana kemelayuannya atau 'kemalaysianannya', muncul balik, tidak Arabisme naik.”
