Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Syed Razlan Syed Putra Jamalullail ditamatkan perkhidmatannya atas sebab yang tidak dijelaskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Difahamkan, kontrak Syed Razlan ditamatkan lebih awal ketika beliau sedang menyiasat dakwaan salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi universiti itu.
Menurut laporan portal berita The Malaysia Insight (TMI), Syed Razlan dimaklumkan mengenai pemecatannya melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai, yang ditandatangani oleh Maszlee sendiri.
Dakwa portal berkenaan, pihaknya melihat salinan surat berkenaan yang tidak memberikan sebarang alasan berhubung pemecatan itu.
Dalam satu pertemuan dengan portal berkenaan, Syed Razlan mengesahkan menerima surat penamatan kontrak tetapi bertekad akan menyelesaikan tugasnya.
“Saya berazam untuk menamatkan apa yang saya mulakan (siasatan) demi kecemerlangan UPM di masa hadapan,” lapor TMI.
Syed Razlan akan diganti oleh bekas naib canselor Universiti Malaya (UM) Ghauth Jasmon berkuat kuasa 19 Ogos ini.
Surat tak dimaklumkan
Surat Ghauth yang ditandatangani Maszlee, juga bertarikh 17 Julai.
Dalam pada itu, Syed Razlan memberitahu surat memendekkan tempoh perkhidmatannya dikeluarkan tanpa beliau dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu dan tiada sebarang perbincangan dengan Maszlee.
“Walaupun kuasa untuk pendekkan kontrak pengerusi lembaga pengarah universiti adalah kuasa menteri, adalah lebih elok dan berhemah jika satu pertemuan diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau tidak orang ingat saya ada buat salah sebab orang tidak tahu isi kandungan surat pendekkan kontrak saya itu,” katanya.
Beliau berharap keputusan Maszlee itu bukan disebabkan siasatan dalaman dan langkah pembaharuan yang sedang dilakukannya di universiti awam itu.
Syed Razlan dilantik ke jawatan itu pada Oktober 2018 bagi tempoh tiga tahun berakhir pada 2021.
Ditanya mengenai siasatan dalaman yang dijalankannya, Syed Razlan berkata beliau menjalankan tugas berdasarkan arahan yang diberikan kepadanya oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.
Namun enggan mendedahkan butiran lanjut siasatan tersebut.
Tahun lalu, Maszlee memecat pengerusi lembaga pengarah beberapa universiti awam.
Antara universiti terbabit ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein Onn (UTHO), Universiti Sultan Zainal Abidin (USZA), dan Universiti Sains Malaysia (USM)
Maszlee ketika itu mempertahankan tindakannya dengan alasan mereka yang dipecat adalah lantikan politik oleh kerajaan BN selain mahu memastikan proses reformasi institusi yang dibawa PH tidak terganggu.
Malaysiakini sedang menghubungi Maszlee untuk mendapatkan respons beliau.
