Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usah obses pada isu tukar PM, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Aug 3, 2019 2:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

PH diingatkan supaya tidak terlalu obses menentukan bakal perdana menteri pada waktu ini, sebaliknya memberikan perhatian penuh kepada usaha memenuhi janji-janji pilihan raya, kata Lim Kit Siang.

Kata setiausaha agung DAP itu, rakyat sebenarnya lebih berminat kepada usaha kerajaan melaksanakan janji yang diikrarkan sebelum ini, termasuk memulihkan ekonomi negara.

“Terlalu banyak keghairahan mengenai isu perdana menteri sedangkan rakyat Malaysia lebih berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan PH boleh memenuhi janji-janjinya tentang perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti Malaysia Baru.

“Ini mesti jadi isu utama kerajaan PH dan sepatutnya cuma ada gangguan minimum daripada tugas utama kerajaan PH di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polemik mengenai siapa patut menjadi perdana menteri tercetus apabila segelintir penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mahukan kepastian mengenai tarikh peralihkan kuasa dilakukan daripada Dr Mahathir Mohamad.

Isu perdana menteri terus hangat apabila pergeseran di antara kem Anwar dan timbalannya, Azmin Ali, terdedah dan berlaku secara terbuka baru-baru.

Ia disusuli dengan kenyataan Azmin yang menyokong pendirian Umno dan PAS supaya Mahathir dibenarkan menjadi perdana menteri sehingga parlimen dibubarkan untuk membolehkan PRU ke-15 diadakan.

Bersatu Johor juga turut menyatakan sokongan agar Mahathir dibiarkan menjadi perdaha menteri selama lima tahun.

Semua rasa terancam

Hari ini, Naib Presiden PKR, Zuraidah Kamaruddin menyatakan sokongan sama kepada Mahathir untuk terus menerajui negara.

Mahathir pula beberapa kali mengulangi pendiriannya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti yang disepakati pemimpin PH sebelum ini.

Sementara itu, Lim yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau meminta satu kajian menyeluruh dijalankan terhadap manifesto PH.

Katanya ia dibuat kerana ramai rakyat Malaysia menyatakan rasa kecewa terhadap pembaharuan dan perubahan dibawa kerajaan PH yang dianggap lembab dan tidak dirasai,

Pada masa sama Lim mengkritik kerjasama Umno dan PAS yang membangkitkan rasa takut dan menimbulkan kecurigaan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Katanya, kedua-dua parti itu menyalahgunakan Islam untuk mengaburkan fakta.

“Keadaan luar biasa ini adalah di mana orang Melayu berasa terancam, orang Cina berasa terancam, orang India berasa terancam, orang Kadazan berasa terancam dan orang-orang Iban turut berasa terancam," katanya.

Lihat Komen
ADS