Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-49 hari ini.

Malaysiakini membawa laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

5.00pm - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan langsung oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka hasil kerja kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini versi bahasa Inggeris kami serendah RM0.55 sehari. Butiran di sini.


3.22pm - Kenyataan bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah yang disifatkan sebagai kenyataan "lelaki yang marah" membawa kepada penangguhan pendengaran hari esok.

Peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah memohon pendengaran esok dipindahkan ke hari Khamis, dengan mengatakan bahawa mereka perlu berunding dengan anak guam mereka mengenai pendekatan untuk berhadapan dengan Ahmad Husni.

"Saya buat semakan pantas dokumen mahkamah dan kenyataan saksi Husni), ada percanggahan serius tertentu.

"Tetapi saya perlu mendapatkan arahan daripada anak guam saya (Najib Razak), kerana kesaksian ini adalah kesaksian seorang lelaki yang marah terhadap klien saya," katanya.

Shafee berkata pihak pembelaan terkejut dengan jawapan Husni semasa pemeriksaan utama - terutama berkaitan dengan apa yang berlaku mengenai SRC International dan peranan menteri kewangan.

"Saya ingin tahu bagaimana dia (Husni) diberitahu agar tidak terlibat (dalam 1MDB), dan apabila dia berkata dia tidak mempunyai pilihan, seperti ada pistol diacu ke kepalanya," katanya.

Shafee berkata pembelaan memerlukan sepanjang hari esok untuk berunding dengan Najib mengenai keterangan Husni.

Shafee juga menyatakan bahawa esok pagi, terdapat perbicaraan Mahkamah Persekutuan mengenai tawaran Najib untuk menghilangkan kelayakan bekas hakim persekutuan Gopal Sri Ram daripada mendakwa dalam perbicaraan 1MDB melibatkan dana RM2.28 bilion.

Pendakwa V Sithambaram tidak membantah permohonan penangguhan. Beliau menambah bahawa pihak pendakwaan juga memerlukan esok untuk menyusun dokumentasi untuk membantu mempercepatkan resolusi perbicaraan.

Nazlan kemudian membenarkan penangguhan pendengaran esok kepada Khamis pukul 9 pagi.


Najib orang yang 'selalu senyum', kata Husni

3.09pm - Hadirin mahkamah ketawa apabila bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah mengenal pasti Najib sebagai orang yang 'selalu senyum'.

Ia berlaku ketika saksi ke-56 mengenal pasti dengan menunjukkan ke arah bekas perdana menteri ketika pemeriksaan utama oleh DPP Muhammad Izzat Fauzan.

Izzat: Boleh kenal pasti Najib di mahkamah hari ini?

Husni: Haa... yang di belakang tu, yang selalu senyum.


Najib bersikap autokratik dalam urusan SRC International

2.55pm - Bekas perdana menteri bersikap autokratik dalam urusan berkaitan SRC International, bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu mahkamah.

Katanya, walaupun menjadi menteri kewangan kedua, peranannya dalam hal-hal yang berkaitan dengan syarikat itu cuma sekadar menurut perintah sahaja.

Apabila DPP Muhammad Izzat Fauzan bertanya kepadanya jika beliau telah melakukan apa-apa kajian mengenai pelaburan yang dibuat oleh SRC International, Husni memberi keterangan ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukannya.

Ini, kata Husni kerana beliau tidak menerima apa-apa dokumen yang berkaitan dengan syarikat itu.

"Bagaimanakah saya nak kaji (syarikat)? Tidak ada sebarang dokumen apa pun. Malah, CEOnya Nik Faisal tidak mahu berjumpa saya.

"Hanya ada sekali sahaja dia datang ke pejabat saya, tetapi dia tidak membawa apa-apa dokumen. Selepas itu dia tidak pernah jumpa saya lagi.

"Budaya kerja apabila melibatkan SRC International dan 1MDB adalah sama sekali berbeza daripada syarikat lain (di bawah Kementerian Kewangan).


Nik Faisal tak datang walau dipanggil menteri kewangan kedua

2.50pm - Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu mahkamah bahawa ketua pegawai eksekutif SRC International merupakan satu-satunya CEO syarikat berkaitan kerajaan yang tidak bersusah-susah hadir berjumpa dengannya walaupun dipanggil untuk berbuat demikian.

Husni memaklumkan kepada mahkamah pegawai GLC lain, termasuk yang lebih tinggi tarafnya berbanding CEO SRC Antarabangsa Nik Faisal Ariff Kamil telah datang ke pejabatnya ketika dia memanggil mereka untuk mengadakan pertemuan.

Husni memberi keterangan di bawah pemeriksaan utama oleh DPP Muhammad Izzat Fauzan mengenai kelulusan jaminan kerajaan untuk pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada tahun 2011.

"Saya percaya keputusan itu dibuat oleh (perdana menteri ketika it) Najib (Razak). Kenapa saya berkata demikian? Semenjak (dari) Lembaga Pelaburan Terengganu, (kemudian menjadi 1MDB, dan SRC International) ... Saya tidak pernah menerima apa-apa dokumen, saya tidak pernah bertemu pegawai (CEOnya).

"CEO (SRC International) tidak datang berjumpa saya walaupun saya memanggilnya.

"Saya memberitahu (hal ini) kepada hakim yang arif, malah gabenor Bank Negara pun datang berjumpa saya. Lebih tinggi (statusnya) daripada CEO SRC.

"Tapi yang ini (CEO SRC International) tak boleh datang," katanya.


'Saya macam peon saja' - Husni

2.45pm - Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menyamakan dirinya seperti peon atau budak pejabat dalam hal pembuatan keputusan untuk memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion pertama kepada SRC International.

Husni, saksi ke-56 memberi keterangan ini semasa pemeriksaan ketua DPP Muhammad Izzat Fauzan.

"Berkenaan pinjaman pertama (jaminan) RM2 bilion, mengapa tidak dijalankan oleh saya? Mengapa tidak?

"Itulah sebabnya saya mengatakan bahawa saya seperti peon saja ketika keputusan dibuat," kata Husni.

Kerajaan mengeluarkan jaminan untuk bahagian pertama pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International pada akhir tahun 2014.


'Najib beri tahu jangan campur tangan dalam 1MDB'

2.35pm - Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberi keterangan bahawa Najib Razak ketika menjadi perdana menteri memberitahunya supaya tidak campur tangan dalam 1MDB.

Saksi ke-56 menjelaskan hal ini merujuk kepada usahasama 1MDB-Petro Saudi, yang berkata hanya didengarnya pada akhir 2009.

Menurut Husni, beliau kemudian pergi ke pejabat Najib di Putrajaya untuk menyuarakan kebimbangannya mengenai perkara itu.

"Saya memberitahu beliau bahawa kita tidak boleh melabur dalam (usahasama) Petro Saudi-1MDB kerana syarikat itu (1MDB) masih baru dalam penerokaan minyak. Jika tiada minyak dijumpai, wang pelaburan akan habis.

"Saya berkata kakitangan 1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang minyak dan gas, dengan saya mengatakan bahawa Petronas mempunyai (pengalaman dalam bidang) minyak dan gas.

"Najib memberitahu saya bahawa 'mulai hari ini, saya tidak mahu kamu campur tangan dalam 1MDB'," kata Husni kepada Izzat.


Najib tak benar bekas menteri kewangan ke-2 periksa pelaburan SRC 

2.25pm - Mahkamah mendengar keterangan daripada bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah yang berkata bekas perdana menteri Najib Razak tidak meluluskan permintaannya untuk membawa pegawai Kementerian Kewangan, Bank Negara dan KWAP untuk pergi ke Switzerland.

Kunjungan pegawainya ke Switzerland itu, kata Husni bagi membuktikan bahawa sejumlah wang SRC International yang dibekukan di dalam sebuah bank di sana adalah milik KWAP.

Beliau memberi keterangan di bawah pemeriksaan utama oleh DPP Izzat Fauzan.

Husni juga memberitahu mahkamah percubaannya mendapatkan dokumen berkaitan pelaburan SRC International di Jawa, Mongolia, Switzerland dan Hong Kong turut tidak berjaya walaupun pegawainya ketika itu telah memintanya daripada syarikat itu.

"Saya dapat tahu daripada pegawai Kementerian Kewangan (MOF) bahawa sejumlah RM4 bilion, iaitu jumlah pinjaman dari KWAP, digunakan antara lain: pelaburan dalam perniagaan arang batu di Jawa, pelaburan sumber asli di Mongolia, dan simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong," katanya.


SRC pinjam dari KWAP: Saya dah nasihat Najib - Husni

2.20pm - Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu mahkamah beliau telah membangkitkan kebimbangannya mengenai permohonan SRC International untuk meminjam sejumlah besar dana daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Menurut Husni yang menjadi saksi pendakwaan ke-56, beliau pergi menemui perdana menteri Najib Razak selepas mesyuarat kabinet di mana menteri diberi taklimat oleh menteri di jabatan perdana menteri ketika itu Nor Mohamad Yakcop mengenai permohonan pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada syarikat itu.

Husni tidak menyatakan sama ada mesyuarat kabinet itu berlangsung pada 2011 atau 2012.

Bagaimanapun, ia dipercayai berlaku pada 2011 apabila SRC International mula memperoleh bahagian pertama RM2 bilion daripada KWAP.

Husni berkata beliau bertanya kepada Najib, yang juga menteri kewangan ketika itu, mengenai jumlah besar yang akan dipinjamkan dengan jaminan kerajaan kepada anak syarikat 1MDB itu.

Saksi itu berkata beliau dimaklumkan oleh Najib bahawa syarikat itu diperlukan untuk memperkasa industri elektrik di negara ini melalui pemilikan kerajaan terhadap syarikat yang melabur dalam perlombongan arang batu.

"Saya kemudian memberitahu Najib bahawa perlombongan arang batu perlu dibiarkan kepada sektor swasta dan bukan melibatkan syarikat milik kerajaan.

"Najib kemudian memberitahu saya bahawa hanya dengan penglibatan kerajaan sahaja sektor elektrik dapat dijana melalui perlombongan arang batu.


Husni Hanadzlah beri keterangan sebagai saksi pendakwaan

2.12pm - Prosiding bersambung semula selepas rehat makan tengah hari. 

Saksi ke-56 pendakwaan bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah masuk ke kandang saksi untuk pemeriksaan balas oleh pendakwaan.


12.30pm - Mahkamah berhenti rehat. Prosiding akan berlangsung pada jam 2 petang.


Pendakwaan akan panggil saksi bekas menteri kewangan 2

12.15pm - Pendakwaan meminta untuk rehat makan tengah hari selepas DPP V Sithambaram menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap saksi ke-54 pendakwaan, Joanna Yu, yang merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank.

Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa saksi pendakwaan seterusnya telah pergi makan tengahari.

Beliau mencadangkan supaya mahkamah meneruskan semula prosiding pada jam 2 petang, berbanding kebiasaannya pukul 2.30 petang kerana waktu makan tengah hari dibuat awal.

Sithambaram juga memberitahu mahkamah pendakwaan akan memanggil bekas menteri kewangan 2, Husni Hanadzlah, sebagai saksi seterusnya dan akan memanggi seorang saksi terdahulu untuk memberi keterangan.


Najib dirujuk sebagai Optimus Prime - Saksi

12.12pm - Jho Low merujuk perdana menteri Najib Abdul Razak dengan nama pemimpin Transformer, Optimus Prime.

Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu mengesahkan perkara ini kepada DPP V Sithambaram semasa pemeriksaan semula.

Sithambaram merujuk kepada log perbualan Blackberry Messenger antara saksi itu dan ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu..

"Saya bertanya dan diberitahu nama rujukannya Optimus Prime, ia bermakna perdana menteri (ketika itu) Najib," kata Yu.

Tawa bergema dimahkamah ketika Sithambaram menyatakan setakat pengetahuannya Optimus Prime adalah pemimpin tertinggi Transformers, siri sains fiksyen terkenal.


Saksi tak dapat sah 100% log perbualan BlackBerry 

11.45am - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu tidak dapat mengesahkan 100 peratus ketepatan log perbualan BlackBerry Messenger (BBM) mengenai antara lainnya mengandungi perbualannya dengan Jho Low.

Saksi ke 54 mengakui hal ini semasa pemeriksaan semula oleh DPP V Sithambaram.

Sithambaram: Bolehkah kamu mengesahkan 100 peratus ketepatan semua log perbualan itu?

Yu: Tidak.


Najib tak pernah buat aduan transaksi besar dalam akaunnya - Saksi

11.24am - Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu memberi keterangan bahawa Najib Razak tidak pernah membuat sebarang aduan terhadap pemindahan besar-besaran ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Dia bersetuju dengan DPP V Sithambaram ketika sesi pemeriksaan semula di mahkamah.

Sithambaram: Akaun-akaun ini melibatkan jumlah wang yang besar. Pernahkah terdapat sebarang pertanyaan dari Najib pada bila-bila masa mengenai pengendalian akaun tersebut?

Yu: Tidak, tidak pernah ada pertanyaan atau aduan yang dibuat.

Sithambaram: Apabila akaun ditutup, adakah terdapat tuntutan undang-undang terhadap bank mengenai penggunaan dana yang salah dalam akaun?

Yu: Tiada. 


Najib tak tanya sumber dana, terus keluar cek - Saksi

11.00am - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu percaya ahli perniagaan berkaitan 1MDB, Jho Low berkomunikasi dengan bekas perdana menteri Najib Razak dalam operasi urusan akaun banknya.

Mengesahkan di bawah peperiksaan semula oleh DPP V Sithambaram (gambar), saksi ke-54 pihak pendakwa mengatakan bahawa Najib sepatutnya tahu jumlah transaksi di dalam akaunnya kerana beliau terus mengeluarkan cek dari akaun berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa dengan pengetahuannya yang terbaik, tidak ada sebarang aduan mengenai apa-apa cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib yang bukan daripadanya.

Tidak ada pertanyaan daripada Najib mengenai sumber dana dalam akaun kerana bekas perdana menteri itu terus mengeluarkan cek, kata saksi.


Saksi adu ke Mahkamah Perusahaan, diberhentikan dari AmBank

10.40am - Bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu telah membawa bekas majikannya ke Mahkamah Perusahaan susulan diberhentikan kerja pada tahun 2015.

Saksi ke-54 mendedahkan hal ini apabila DPP V Sithambaram menyoalnya semasa peperiksaan semula.

Sithambaram: Apabila AmBank meminta kamu berhenti, adakah kamu membawa (pihak) bank ke Mahkamah Perusahaan?

Yu: Saya memfailkan aduan dengan Mahkamah Perusahaan.

Sithambaram: Kes itu didengar di sana (mahkamah)?

Yu: Ada sebutan kes.

Sithambaram: Sebelum perkara itu timbul, terdapat perjanjian sulit untuk tiada pengakuan liabiliti di antara kamu dan bank, dan ini dicatatkan di Mahkamah (Perindustrian)?

Yu: Ya.


Tak timbul syak wasangka pada akaun AmBank Najib - Saksi

10.38am Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu memberi keterangan dia tidak mempunyai syak wasangka mengenai cara akaun Najib Razak dikendalikan.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi ke-54 pihak pendakwaan itu mengatakan dia juga tidak mempunyai sebarang syak wasangka terhadap sumber dana yang dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

Dia memberitahu mahkamah walaupun jumlah dana yang dikreditkan ke dalam akaun Najib adalah besar, namun Jabatan Kiriman Wang Bank telah memberitahunya bahawa semua urus niaga telah melalui sistem pelaporan yang diperlukan oleh Bank Negara Malaysia.

Yu juga mengaku setakat pengetahuannya sebagai penghubung terhadap akaun-akaun itu, hanya sekali akaun berkenaan ditandakan merah oleh bank pusat kerana pengeluaran melebihi baki, yang mengakibatkan Bank Negara mahu menutup akaun itu.

Pembelaan kemudian menyelesaikan pemeriksaan balas mereka terhadap Yu.

DPP V Sithambaram kemudian memulakan pemeriksaan semula terhadap saksi.


10.20am - Prosiding bersambung selepas berehat sebentar.


Pembelaan hampir selesai pemeriksaan balas terhadap Joanna Yu

9.40amPeguam bela, Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah dia telah hampir sampai ke penghujung pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Harvinderjit kemudian memohon untuk menandakan dokumen kewangan sebagai bukti pembelaan dalam kes itu.

Difahamkan dokumen berkenaan adalah penyata kewangan Putra Perdana Bhd, yang mana digunakan pembelaa ketika menyoal Yu semalam mengenai pembalikan dana dari dua akaun Najib Razak pada tahun 2014.

Permohonan ini dibantah pihak pendakwaan, memetik isu pemenuhan klausa undang-undang di bawah Akta Keterangan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memberitahu pembelaan untuk menyelesaikan isu-isu undang-undang terlebih dahulu sebelum mereka dapat mengemukakan dokumen itu sebagai bukti pembelaan.

Mahkamah kemudian berehat sebentar susulan permintaan pihak pembelaan dan pendakwaan untuk melengkapkan beberapa dokumen dan mempersiapkan pemeriksaan semula.


Saksi nafi cuba lindungi Jho Low 

9.32 amBekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu menafikan cuba untuk melindungi ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.

Saksi juga menafikan dakwaan peguam Harvinderjit Singh bahawa dia telah berkomunikasi dengan ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa itu sejak beberapa hari lalu.

Harvinderjit: Kamu cuba melindungi Jho Low?

Yu: Tidak.

Harvinderjit: Kamu telah berkomunikasi dengannya sejak beberapa hari yang lalu?

Yu: Tidak.


Saksi tak setuju Jho Low tak beritahu Najib tentang pindah dana

9.18am - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu tidak bersetuju bahawa Jho Low tidak memaklumkan kepada Najib Razak mengenai pemindahan dana di akaun bekas perdana menteri itu.

Saksi memberitahu peguam Harvinderjit Singh ini ketika pemeriksaan balas mengenai pelbagai tindakan ahli perniagaan dalam buruan itu berkaitan dengan pelbagai akaun Najib dengan AmBank antara 2011 dan 2015.

Harvinderjit: Pelbagai tindakan Jho Low semuanya direka untuk memastikan Najib tidak pernah diberitahu tentang baki tepat dalam akaun-akaun itu?

Yu: Saya tidak bersetuju, tetapi saya tidak tahu.

Harvinderjit: Tindakan Jho Low berhubung dengan akaun itu direka untuk memastikan Najib percaya bahawa ada dana yang cukup dalam akaun untuk mengeluarkan cek?

Yu: Mungkin ada perbincangan tetapi saya tidak tahu (secara tepat mengenai) perbincangan itu.


Peguam Najib minta pendengaran esok mula lepas tengah hari

9.11am - Perbicaraan hari ini bermula dengan peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa tertuduh, bekas perdana menteri Najib Razak, terpaksa hadir di hadapan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada pagi esok untuk memohon mengenepikan Gopal Sri Ram daripada mendakwa kes perbicaraan 1MDB.

Ini disokong oleh Peguam Negara Tommy Thomas, yang memberitahu mahkamah bahawa ia akan menjadi mudah jika prosiding esok boleh bermula dari jam 2 petang dan seterusnya.

Perbicaraan hari ini kemudian bermula dengan Harvinderjit menjalankan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus hubungan AmBank Joanna Yu.


9.09am - Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan prosiding bermula

9.01am - Bekas Perdana Menteri Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan duduk di barisan hadapan galeri awam.

Turut kelihatan menunggu prosiding bermula Peguam Negara Tommy Thomas dan para timbalan pendakwa raya serta peguam bela tertuduh Harvinderjit Singh dan barisan peguam bela lainnya.

Perbicaraan kes menyelewengan RM42 juta dana SRC International yang dihadapi Najib telah masuk hari ke-49 susulan Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pendengaran kes dana RM2.28 bilion 1MDB.

Pendakwa raya dan peguam bela kini hanya mempunyai lapan hari lagi untuk menggulung perbicaraan kes SRC International di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pendengaran 1MDB di mahkamah tinggi berasingan pula akan bermula pada 19 Ogos.

 

Lihat Komen
ADS