Paling Popular
Terkini

ULASAN l Pada 1986, saya mengunjungi pejabat akhbar empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil, memasukkan iklan kecil. Apa yang mengejut dan mengujakan saya ialah dengan RM20 ketika itu, saya mampu memasukkan 300 perkataan dalam iklan akhbar-akhbar Cina berbanding antara 10 ke 14 perkataan dalam akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris.

Sudah tentulah 300 perkataan tersebut menghasilkan output yang sangat banyak sehinggakan saya terpaksa mencabut kabel telefon sebab suara saya dan isteri telah serak, gegendang telinga telah alami dengungan berpanjangan kerana telinga yang terlalu lama melekap ke telefon (sehingga kami terpaksa berjumpa doktor mendapatkan rawatan) dan langganan pula telah jauh melebihi kapasiti khidmat yang ditawarkan kami berdua.

Pengalaman ini, dan seterusnya pemikiran dan kajian mengenainya, mendorong saya menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya tulisan Cina diajar di sekolah-sekolah kebangsaan kerana sungguhpun mempelajarinya amat sukar lantaran minimum 2000 karakter atau simbol kena dikuasai dengan cara dihafal dan diulangtulis berkali-kali.

Namun ia menghasilkan kelajuan pembacaan kerana setiap karakter bukan sebenarnya mewakili suatu huruf tetapi suatu perkataan, ungkapan malah satu konsep.

Malah karakter itu boleh sahaja dibaca dalam semua dialek Cina malah dalam semua bahasa, kerana walaupun perkataan yang digunakan adalah berbeza (terdapat lebih daripada 666 dialek pertuturan yang berbeza dalam rumpun bahasa Cina), karakter atau simbolnya adalah sama.

Bagi menjelaskan maksud saya, bila melihat simbol ‘no entry’ di jalan raya, yang merupakan simbol yang sama yang digunakan di mana-mana tempat di dunia, semua pemandu memahaminya sama ada disebut ‘tidak boleh masuk ke jalan ini’ (English), ‘jinzhi ru nei’ (Mandarin), ‘cellakkutatu’ (Tamil) atau mamnue aldukhul (Arab).

(Saya yakin antara faktor yang menyebabkan akhbar-akhbar vernakular Cina terus mendapat sambutan dalam asakan internet dan telefon pintar sekarang ialah faktor kepantasan pembacaan tersebut. Seringkali tajuk-tajuk besar akhbar Cina mengandungi belasan malah puluhan perkataan lantaran ia boleh diwakili oleh tulisan karakter Cina yang kompak.)

Bertitik-tolak dari pengalaman dan kajian tersebut, saya seterusnya mendapati bahawa sebutan perkataan dalam semua dialek bahasa Cina adalah juga pendek, misalnya, setiap satu daripada nombor 0 hingga 10 adalah mono-syllabic (menggunakan sebutan satu suku kata), oleh itu membilang, mengingat fakta dan formula, mencongak, menyelesaikan masalah sama ada di tahap rendah, tengah atau tinggi adalah jauh lebih pantas lantaran sebutannya mengambil masa, tenaga dan runtunan tumpuan yang sedikit.

Dari sini saya merumuskan kaedah Mokhdar. Kaedah ini mempadatkan sebutan nombor dan ungkapan matematik dalam BM (termasuk ungkapan algebra) menjadikan sebutan yang paling padat berbanding semua bahasa di dunia.

Sebagai contoh, nombor 0 ke 100 setiap satunya disebut dengan satu suku kata, malah terdapat ratusan nombor 3 ke 20 digit yang boleh disebut dengan satu suku kata.

Sebab itu saya dan hampir semua anak-anak mampu ingat ratusan malah ribuan nombor telefon tanpa hafal, anak-anak kuasai darab asas sejak berusia antara 3 ke 6 tahun serta mampu mencongak 2 digit didarab 1 digit ketika berusia 6 atau 7 tahun, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, nombor top-up talian telekomunikasi dan sebagainya boleh diingat hanya diimbaspandang menggunakan masa antara 1/2 ke 6 saat.

Tidak hairanlah kemelut pengenalan tulisan jawi ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan dengan segera menarik perhatian saya. Saya percaya bahawa isu yang menggoyahkan sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan, malah terhadap DAP yang dalam PRU14 mendapat sokongan padu dari masyarakat Cina, telah tidak diterangkan sewajarnya.

Kebimbangan masyarakat Cina terhadap pengenalan tulisan jawi ini bukanlah tidak berasas. Asas yang paling dijadikan sandaran ialah niat tersembunyi kementerian pelajaran yang diterajui oleh seorang ‘Cina’ Muslim (bapa Dr Maszlee Malek (foto, bawah) ialah seorang mualaf dari keturunan Cina) yang mahu memulakan proses mengIslamkan pelajar-pelajar dari sekolah Cina yang kebanyakannya adalah beragama Budha dan ramai juga yang beragama Kristian.

Namun asas yang tidak kurang pentingnya tetapi kurang dihayati ialah ketakutan terhadap masa, tenaga dan tumpuan pelajar yang terpaksa diberi kepada pembelajaran khat jawi dan ini mengurangkan masa, tenaga dan tumpuan yang sepatutnya diberi kepada subjek-subjek lain yang boleh menjamin kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan dan juga amat bermanfaat untuk mempastikan yang pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan di zaman IT yang sedang mentsunamikan dunia pada masa kini.

Masyarakat Cina tidak diterangkan bahawa antara mempelajari tulisan khat Jawi dan kaligrafi Cina adalah, dari segi kesukarannya, adalah ibarat mendaki ke puncak Bukit Tinggi di Bentong dengan mendaki ke puncak gunung Everrest.

Tulisan jawi hanya menggunakan 37 huruf yang boleh pula dipadankan dengan huruf-huruf rumi, misalnya ج boleh dipadankan dengan J, ح dengan H, د dengan D dan ذ dengan Z. Ia boleh dikuasai dalam hanya beberapa jam atau mungkin beberapa hari.

Kaedah pembacaan juga adalah amat mudah. Kaedah yang diasaskan oleh RO Windstedt di zaman penjajahan British ini mempadankan huruf-huruf jawi dengan huruf-huruf rumi sebagaimana contoh tersebut.

Bila dipaksa belajar tulisan Jawi, ibu bapa pelajar membayangkan kesukaran, masa, tenaga dan tumpuan yang terpaksa diberi oleh pelajar sebagaimana kesukaran, masa, tenaga dan tumpuan yang terpaksa diberi dalam menguasai tulisan kaligrafi Cina, di mana pelajar perlu menghafal dan mempraktis menulis karakter-karakter Cina pada bilangan minimum 2000 karakter.

Lebih merimaskan mereka ialah segalanya itu diberi untuk tujuan yang tidak praktikal dan pragmatik dalam hala tuju membina masa depan yang cemerlang buat anak-anak mereka, malah suatu perancangan halus untuk memulakan proses mengIslamkan anak-anak mereka.

Saya berharap kemelut ini akan berakhir segera. Kejayaan menggulingkan regim kleptokrasi yang telah meranapkan hampir segala yang dimiliki oleh rakyat Malaysia janganlah hendaknya bersusulan dengan kegagalan demi kegagalan yang akhirnya memudahkan elemen daripada kebobrokan rejim tersebut kembali menguasai negara.

Saya berharap agar masyarakat Cina akan membenarkan anak-anak mereka belajar seni tulisan khat Jawi yang amat mudah ini, malah boleh pula dihasilkan tulisan khat Jawi dalam stail kaligrafi Cina.

Perpaduan keduanya pasti akan menghasilkan suatu bentuk seni yang lebih unik dan lebih menarik yang mungkin tidak akan ditemui di mana-mana negara di dunia.

Dalam pada itu saya juga mengesyorkan kepada kerajaan agar menggalakkan pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan agar mempelajari dan menguasai tulisan kanji Cina, yang pastinya lebih mudah dan lebih dinikmati jika ia dilakukan dengan melakukan latihan-latihan menulis tulisan kaligrafi Cina.

Hasilnya nanti, pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan, dan sekolah-sekolah lain, akan dapat membaca pantas dalam tulisan kanji (tanpa perlu mengetahui sebutan dalam dialek-dialek bahasa Cina).

Dari sini, pelajar akan dapat menggali sebeberapa banyak input dalam masa yang amat pantas dengan itu menjadikan mereka lebih bermaklumat bagi memperkasakan mereka agar jauh lebih mampu bersaing dengan masyarakat Cina dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Malah ia juga akan memperkasakan diri mereka dalam bidang pelajaran kerana latihan menghafal simbol-simbol dalam tulisan kanji adalah sebenarnya suatu latihan yang amat baik dalam melatih otak dalam mengingat dan menguruskan input-input matematik dan saintifik kerana input-input berkenaan banyak menggunakan simbol.

Di tambah dengan latihan menghafal ayat-ayat suci al-Quran yang menghasilkan ketenangan jiwa dan kekukuhan memori, pelajar-pelajar Melayu sendiri akan mara menjadi bangsa Melayu yang paling cemerlang dalam bidang pelajaran, ekonomi dan perniagaan di samping tidak melupakan kehidupan abadi di akhirat kelak.


MAKHTAR MANSOR pernah berkhidmat sebagai penolong penggubal undang-undang Parlimen, majistret kanan Teluk Intan, peguam kanan persekutuan merangkap timbalan pendakwa raya, dan akhir sekali sebagai pegawai undang-undang pertama Mahkamah Agung (sekarang ini Mahkamah Persekutuan).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS