Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta MKN jadikan agong ‘rubber stamp’ - peguam

Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dianggap tidak berperlembagaan kerana ia telah mengurangkan kuasa serta peranan Yang di Pertuan Agong.

Peguam Presiden PKR Anwar Ibrahim, Gopal Sri Ram pada sesi pendengaran di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, berkata akta berkenaan bukan saja mengurangkan kuasa Agong, malah menjadikannyan sekadar "rubber stamp" (penurut).

"Apa yang dilakukan pindaan berkenaan adalah untuk menamatkan fungsi raja daripada raja berpelembagaan kepada rubber stamp," katanya ketika berhujah.

Januari tahun lalu, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rang undang-undang (RUU) diluluskan secara automatik sebagai undang-undang tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas ketua pembangkang itu memohon kebenaran mahkamah di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mempertikaikan kesahihan 3 pindaan pada 1983, 1984 dan 1994 terhadap Akta Perlembagaan.

Sebelum itu pada Ogos 2016, Anwar memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta MKN, sehari selepas akta itu berkuat kuasa bawah Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kes itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2016, selepas Hakim Hanipah Farikullah membenarkan bantahan awal kerajaan yang mahkamah tiada kuasa membatalkan Akta MKN kecuali mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 6 November 2016 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak kes Anwar mencabar Akta MKN.

Dalam pada itu, Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, berkata akta itu menjadi undang-undang melalui pindaan yang tidak berperlembagaan tidak selari dengan peruntukan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu katanya, pelaksanaan akta berkenaan adalah tidak sah kerana pindaannya tidak mengikut peruntukan perlembagaan.

Sri Ram berkata setiap pelaksanaan akta atau undang-undang perlu mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu.

Sekiranya tidak mendapat perkenaan, katanya, akta atau sesuatu udang-udang itu tidak boleh diwartakan.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu menambah, dalam isu akta MKN, ia tidak perlu kepada pindaan perlembagaan, sebaliknya memadai dengan perkenan Agong selepas mendapat nasihat menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Prosiding berlangsung di hadapan tujuh panel juri diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimum Tuan Mat.

Tengku Maimum akan menetapkan tarikh bagi penghakiman kes berkenaan.

Lihat Komen
ADS