Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Jiao Zong sambut memo pertahan Jawi dengan puisi

Sekumpulan 20 wakil badan bukan kerajaan (NGO) turun berkumpul bagi menyerahkan memorandum menyokong pengenalan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah kepada wakil Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

Bagaimanapun, hanya seramai tujuh orang wakil daripada kumpulan NGO tersebut, diketuai Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Ashraf Mustaqim bertemu dengan tiga wakil Dong Jiao Zong.

Memorandum yang ditulis dalam tulisan rumi dan Jawi itu mendapat sokongan 90 badan dan organisasi dari seluruh negara.

Ia diterima oleh anggota jawatankuasa pusat Dong Zong, Low Chee Chong di hadapan pagar, luar bangunan Dong Jiao Zong kira-kira jam 3.30 petang tadi.

“Sebagai negara demokrasi, kita ada pandangan yang berbeza-beza, sebagai satu pertubuhan, kita hormati semua pandangan. Jadi kita rasa gembira ada beberapa pertubuhan yang serah memorandum.

“Kita akan serah memorandum ni kepada pusat jawatankuasa untuk berbincang, kita akan tengok apa isi kandungan dalam memorandum ini.

"Mungkin kita boleh ada peluang untuk jelaskan apa pandangan kita. Terima kasih kepada semua yang datang,” kata Low kepada pemberita setelah menerima memorandum itu.

Low turut membaca beberapa baris puisi kepada pemberita yang hadir:

"Nasi lemak,
roti canai,
char kuetiau,
kita sukai

Sungai Rajang,
Sungai Klang,
Sungai Pahang,
Kita cintai

Warga negara berbudi,
Rakyat Malaysia berbilang,
Ringan sama dijinjing,
Berat sama dipikul

Pergi pustaka cari ilmu,
Dengan ilmu hati tenang,
Lain pendapat kita hormati,
Luas pandangan kita hayati".

Sementara itu, Ashraf ketika bercakap kepada pemberita, memaklumkan bahawa hasrat sebenar mereka adalah untuk berdemonstrasi hari ini, sebagai tindak balas kepada demonstrasi lain yang dilaporkan akan turut dianjurkan pihak Dong Jiao Zong.

“Tapi, kita menarik balik demonstrasi tersebut. Kita biarkannya hanya sekadar menjadi satu penyerahan memorandum untuk kita santuni pihak Dong Jiao Zong, supaya kita saling boleh melaksanakan perbicangan lanjutan.

“[...] Cuma saya nak tekankan, jika ada lagi orang tak menghormati (isu ini), kita mungkin akan tingkatkan sikit desakan kita, kita akan gembleng lebih ramai orang, dan kita harap perkara begini jangan lagi orang persoalkan,” katanya lagi.

Antara NGO yang menyokong memorandum tersebut ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Generasi Melayu Baru, Biro Kebajikan & Sahabat Amanah, Biro Keselamatan Armada Nasional, dan lain-lain.

Isu itu menjadi kontroversi bulan lalu apabila sebahagian masyarakat bukan Melayu membantah rancangan memperkenalkan enam muka surat mengenai seni khat dan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah vernakular.

Sementara itu, Ashraf turut melahirkan penghargaannya kepada beberapa pemimpin dan tokoh yang mempertahanan pengenalan tulisan Jawi termasuk beberapa tokoh bukan Melayu.

“Kita ucap terima kasih kepada tokoh-tokoh, daripada Dr Mahathir (Mohamad) sendiri, yang jelas mempertahankan tulisan Jawi,” katanya disambut tepukan wakil-wakil lain.

“Jangan pernah berganjak, jangan pernah berundur. Dan syabas kepada individu seperti Lim Kit Siang, yang mana dengan beraninya mengeluarkan kata-kata seperti ‘kalau menulis atau membaca dalam aksara Jawi, tak menjadikan saya kurang Cina’.

“Itu satu kenyataan yang cukup kuat,” katanya yang kemudiannya turut memuji tokoh lain seperti sasterawan Dr Lim Swee Tin dan Dr Teo Kok Seong atas pendirian mereka dalam isu berkenaan.

Hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan soalan lazim berkaitan pengenalan tulisan Jawi untuk pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Lihat Komen
ADS