Kira-kira 5,000 ekor unggas dimusnahkan dalam operasi pemusnahan di dua kawasan yang disahkan dijangkiti wabak selesema burung di Perak iaitu di Kampung Changkat Legong dekat Gopeng dan kawasan Kompleks Pertanian Titi Gantung, Bota malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Radzi Manan berkata operasi di Changkat Legong telah memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada kira-kira 2,000 ekor ayam kampung yang diternak di kawasan itu.

"Operasi di kawasan kompleks pertanian pula memusnahkan kira-kira 3,000 ekor ayam yang terdapat di kawasan ternakan tertutup Institut Pertanian Titi Gantung...unggas yang dimusnahkan termasuk ayam daging, ayam serama, angsa dan itik," katanya kepada pemberita di Ipoh.

Beliau berkata operasi pemusnahan akan diteruskan hari ini bagi memusnahkan kira-kira 6,000 ekor unggas di 12 buah kampung dan dua taman dalam radius satu kilometer dari kompleks pertanian berkenaan serta saki baki unggas di Changkat Legong.

Menurut laporan Bernama, Mohd Radzi berkata operasi di Changkat Legong dapat dijalankan dengan cepat kerana hanya membabitkan 72 buah rumah penduduk manakala operasi di Bota melibatkan kawasan berpenduduk yang padat.

Dua kawasan itu merupakan dua daripada tiga kes wabak selesema burung yang dikesan semalam selepas dua kes virus bahaya H5N1 dikesan di Changkat Tualang dan Taman Ecopark Bukit Merah Laketown Resort dekat Taiping minggu lepas.

Operasi pemusnahan

Satu lagi kes yang disahkan membabitkan bangkai burung gembala kerbau yang dijumpai di Taman Panorama, Ipoh tetapi kes itu tidak membabitkan operasi pemusnahan dan hanya pensampelan dijalankan di kawasan radius satu kilometer.

Kampung Changkat Legong terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Changkat Tualang dan menurut Mohd Radzi, kampung itu terpencil kerana radius satu kilometer kampung itu ialah kawasan bekas lombong dan ladang kelapa sawit.

"Kita yakin operasi di kedua-dua tempat itu akan dapat diselesaikan malam ini atau selewat-lewatnya esok...para penduduk telah memberikan kerjasama yang baik dan ini memudahkan usaha pemusnahan dan kerja-kerja susulan," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) telah menjalankan pensampelan di seluruh negeri terutama di kawasan persinggahan burung-burung liar di Kuala Gula dan beberapa kawasan berpaya di daerah Perak Tengah dan Kinta.

Katanya semua jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani negeri telah diminta bersiap sedia membantu JPH menjalankan operasi menangani penularan wabak berkenaan jika ada kes baru dikesan dan membabitkan lebih banyak kawasan.

"Kakitangan JPH dari seluruh negeri telah dikerah membantu operasi sejak wabak dikesan minggu lepas dan mereka telah bertugas tanpa henti sejak Khamis lepas kerana selepas selesai dua operasi awal, tiga lagi kes disahkan di kawasan lain," katanya.

Dalam operasi di Changkat Tualang dan Bukit Merah, kira-kira 42,000 unggas termasuk lebih 30,000 itik, 10,000 ayam daging dan ayam kampung serta unggas lain termasuk 239 burung eksotik di Taman Ecopark telah dimusnahkan.