Antara cabaran buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah menangani budaya memberi dan menerima sumbangan yang melibatkan ahli politik dan anggota kerajaan, menurut Latheefa Koya.
Melainkan dalam beberapa keadaan tertentu, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata sumbangan hanyalah "perkataan cantik" untuk rasuah.
"Bagi saya tidak ada istilah sumbangan. Kalau sumbangan itu kita derma kepada orang yang sepatutnya penerima sumbangan, itu tidak ada masalah.
"Perkataan 'sumbangan' itu hanyalah perkataan cantik bagi rasuah," katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia hari ini.
Justeru, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menetapkan hanya boleh menerima sumbangan - sama ada dalam bentuk makanan atau yang lain - yang bernilai RM500 ke bawah.
Bagaimanapun beliau mengakui amalan memberi dan menerima sumbangan, melibatkan ahli politik dan penjawat awam, sudah menjadi kebiasaan.
Beliau memberikan contoh amalan menerima tajaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) - yang tidak terhad ketika musim perayaan saja - dan menurutnya ia menjadi "lubuk rasuah".
Berkenaan budaya politik pula, beliau menjelaskan tentang kebiasaan wakil rakyat untuk memberi sumbangan dalam majlis-majlis tertentu.
"Contohnya, kalau orang kahwin, meninggal dunia, kenduri, semua kena hadir dan bukan hadir dengan tangan kosong sahaja... Adakah amalan ini betul?
"Jadi kita perlu lihat semula kenapa ahli politik terpaksa pergi semua majlis seumpama ini untuk menjaga rakyat? Adakah ini cara dia menjadi popular? Dan inilah yang menjustifikasikan sumbangan."
Namun katanya, tidak timbul isu jika sumbangan itu berkaitan dengan tugas menguruskan peruntukan yang diberi.
"Namun kalau ada extra work dia pergi majlis-majlis rakyat itu dan kalau dia tak pergi akan dilabel sebagai wakil rakyat yang gagal,
"Inilah persepsi kita. Rakyat pun sama mengharapkan ahli politik memberikan duit kepada dia. Jadi giving culture ini perlu ditukar," katanya lagi dalam wawancara itu.
