Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Najib singkir Sri Ram dalam kes 1MDB ditolak kali ketiga

Pemohonan Najib Razak untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaraya dalam perbicaraan kes 1MDB gagal buat kali ketiga.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu yang melibatkan tiga kesnya.

Diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, panel hakim mengambil masa sejam untuk mempertimbangkan hujah ketua peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Panel hakim terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Abang Iskandar Abang Hashim, Rohana Yusuf, Azahar Mohamed, David Wong Dak Wah, Mohd Zawawi Salleh dan Idrus Harun.

Antara kes yang terlibat ialah pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual akan didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada 19 Ogos ini.

Selain itu, Sri Ram juga antara lain mengetuai pendakwaan dalam kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (Ipic) berjumlah RM6.6 bilion serta kes pindaan laporan audit 1MDB, kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Rosmah Mansor dan bekas pembantunya Rizal Mansor, serta kes pengubahan wang haram AS$248 juta terhadap anak tiri pasangan itu, Riza Aziz.

Ketika membaca keputusan itu, Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati permohonan tiada merit dan setuju dengan keputusan sama yang dibuat di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Permohonan ditolak kerana tiada merit," katanya.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan bagi kes 1MDB-nya. Permohonan itu dibawa ke Mahkamah Rayuan tetapi keputusan sama dibuat pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun panel hakim membenarkan satu bahagian daripada permohonan itu - agar pihak pendakwaan menunjukkan surat pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya.

"(Permohonan) ini lain daripada keputusan terdahulu mahkamah berkenaan (timbalan pendakwa raya) Sulaiman Abdullah.

"Tiada yang menunjukan dokumen (surat pelantikan) diklasifikasikan sebagai rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972," kata Maimun.

Beliau kemudian mengarahkan pihak pendakwaan untuk menunjukkan salinan surat itu di mahkamah.

Ketika ditemui selepas prosiding, Akram berkata keputusan hakim membolehkan Sri Ram terus mengetuai pendakwaan untuk pelbagai kes terhadap Najib.

"Dia (Sri Ram) akan teruskan sebagai DPP dalam kes-kes ini. Dia ialah DPP kanan yang mengetuai pendakwaan," katanya.

Sementara itu, Shafee berkata pihak pembelaan akan meneliti surat pelantikan Sri Ram dan memutuskan sama ada untuk terus mencabar pelantikannya.

"Sekarang kita ada surat itu, kita boleh fikir cara lain untuk mencabarnya," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS