Malaysiakini BERITA

Selangor bergolak - MB berdepan pemimpin PH esok

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijadualkan berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri ketika kerajaan negeri pimpinannya dilaporkan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Setiausaha Bersatu Selangor, Hasnizam Adham memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu akan diadakan di kediaman menteri besar di Shah Alam petang, esok.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PKR Selangor Hee Loy Sien melabelkan perjumpaan itu sebagai mesyuarat lazim.

"Ini adalah mesyuarat biasa PH Selangor yang diadakan setiap dua bulan," katanya, sambil menambah bahawa lima wakil dari setiap parti komponen akan hadir.

Susulan mesyuarat itu, Amirudin dijadual mengadakan majlis makan malam bersama pemimpin cabang PKR Selangor di sebuah hotel di Shah Alam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa menteri besar cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan mengenai berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Walau bagaimanapun, ini mengundang bantahan yang kuat dari Adun PH pada mesyuarat 26 Julai lalu.

"Hampir semua (Adun) membantah. Pemimpin PKR dan Amanah juga berbelah-bahagi," kata seorang Adun PKR, yang enggan mendedahkan identitinya.

"Malah ada di kalangan yang rapat dengan menteri besar juga tidak bersetuju," katanya, sambil menambah bahawa ahli exco negeri juga berbelah-bahagi.

Difahamkan rang undang-undang itu dicadangkan oleh Majlis Islam Selangor (Mais) dan menerima sokongan dari istana negeri.

Percubaan untuk meminda rang undang-undang itu juga dilaporkan menyaksikan Amirudin kini sukar bekerjasama dengan Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim.

Ng dilaporkan memendekan sidang DUN Selangor bulan lalu bagi menghalang rang undang-undang itu daripada dibentangkan.

Walau bagaimanapun, speaker itu menegaskan bahawa dia bertindak menurut Peraturan Mesyuarat dan semua agenda telah diselesaikan.

MB keluar kumpulan WhatsApp

Sumber PKR mendakwa bahawa pada malam sidang DUN ditangguhkan, menteri besar bertindak keluar daripada kumpulan WhatsApp untuk wakil rakyat tempatan.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku, tetapi ada khabar angin mengatakan dia (Amirudin) mungkin ada masalah dengan speaker," katanya.

Sumber-sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa pada perjumpaan seterusnya membabitkan Amirudin dengan Adun Islam PKR dan seorang Adun Bersatu, cadangan menggantikan speaker ditimbulkan.

Bagaimanapun, wakil rakyat PKR Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) menafikan perkara itu.

Terdapat juga spekulasi di kalangan PH yang mengatakan bahawa empat ahli exco bukan Islam Selangor akan dipanggil ke istana esok.

Walau bagaimanapun ini dinafikan Teng Chang Kim dari DAP, yang mengatakan dia tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu.

 

Sementara itu, spekulasi juga bertiup kencang mengenai plot yang dikatakan mahu melucutkan Amirudin, yang merupakan sekutu timbalan presiden PKR Azmin Ali, sebagai menteri besar.

Menurut sumber, ini berkaitan dengan ucapannya selepas video seks yang mengaitkan Azmin.

Namun, sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak tahu-menahu mengenainya dan difahamkan dari mereka yang rapat dengan Anwar bahawa Amirudin secara peribadi telah memohon maaf kepada presiden PKR itu.

Walau bagaimanapun, Anwar dilaporkan menuntut permohonan maaf secara terbuka, yang dipersetujui oleh Amirudin tapi belum berbuat demikian.

Malaysiakini telah menghubungi menteri besar untuk mendapatkan maklum balasnya mengenai pindaan itu serta plot yang didakwa dirancang terhadapnya. Portal ini juga telah menghubungi istana Selangor untuk mendapatkan maklum balas.


Laporan oleh Annabelle Lee, Lee Way Loon, Lu Wei Hoong, Ramieza Wahid, Yasmin Ramlan, dan Zikri Kamarulzaman.