Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawal penggunaan gajet bendung masalah sosial

Isu masalah sosial melibatkan kanak-kanak semakin membimbangkan dan baru-baru ini tular berita murid lelaki Tahun Enam merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Batu Gajah, Perak.

Suspek dilaporkan adalah anak pengasuh mangsa dan didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu akibat terpengaruh dengan video lucah yang ditonton di telefon bimbit.

Apa yang berlaku menggambarkan betapa kritikalnya isu yang dibangkitkan kerana lazimnya salah laku seks melibatkan orang dewasa.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli ketika mengulas isu berkenaan berkata langkah utama yang perlu dilakukan ialah untuk ibu bapa mengawasi penggunaan gajet di rumah bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan unsur negatif.

"Kita tidak menafikan, seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi, penggunaaan gajet adalah suatu keperluan, namun ia mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. Sekalipun anak-anak didedahkan dengan penggunaan gajet, ibu bapa perlu ambil peduli risiko yang akan terdedah kepada anak mereka.

"Ibu bapa juga perlu ambil tahu dan memantau gelagat anak-anak di rumah.

Mereka yang terdedah sejak kecil lagi berkemungkinan mempelajari sesuatu dan meniru aksi serta kelakuan tidak bersesuaian yang dipamerkan dalam peranti berkenaan. Lebih merisaukan, jika dibiarkan, mereka tidak boleh membezakan baik dan buruk, dan kesannya pasti negatif," katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Mesti ada had

Beliau menegaskan ibu bapa juga perlu mengenakan had waktu penggunaan gajet untuk anak-anak di bawah usia enam tahun dan satu jam sehari dikira sudah memadai.

Bagaimanapun, beliau berpendapat lebih baik ibu bapa tidak memberi langsung gajet itu termasuk untuk anak-anak di bawah umur tiga tahun.

Putri Afzan menjelaskan, penggunaan gajet berlebihan boleh mengganggu proses pembentukan emosi anak-anak dan ibu bapa perlu ambil maklum bahawa pendedahan gajet pada usia enam tahun pertama adalah tidak sesuai dengan perkembangan otak anak-anak.

"Ibu bapa juga perlu menggunakan aplikasi kawalan penggunaan internet supaya anak-anak tidak terdedah dengan perkara yang tidak sesuai dengan umur mereka. Penggunaan gajet seolah-olah menjadi alasan dalam mendiamkan anak-anak. Ibu bapa seperti menjadikan gajet ini sebagai 'bibik' kepada anak-anak.

"Adakah 'bibik' ini tahu salah dan betul? Adakah ‘bibik’ ini boleh mengawal bahan-bahan porno daripada tertera pada skrin gajet? " soal Putri Afzan.

Beliau menambah, pembentukan neuro adalah sangat kritikal dan ‘fragile’ pada tahap usia di bawah enam tahun. Ini kerana wujudnya sifat ‘mirror neuron’ yang akan menyimpan segala tingkah laku atau perbuatan ditonton mereka. Jika perkara yang ditonton adalah tidak sesuai, ini akan tersimpan dalam memori anak-anak.

Perlu komunikasi

Putri Afzan berpandangan ibu bapa perlu lebih bersifat terbuka, tidak segan bercerita dan sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak termasuk yang melibatkan pendidikan seksual.

"Bila anak kecil melakukan kesalahan, masyarakat cenderung menyalahkan anak itu walhal sepanjang pembesarannya adakah dia mendapat pendidikan yang sepatutnya.

"Kadang-kadang bila anak-anak bertanya hal-hal seksual, kita diam, kita segan untuk bercerita. Akhirnya mereka cari maklumat itu dalam internet, sikap ingin mencuba menyebabkan mereka beranggapan mereka boleh buat perkara yang dilihat itu," katanya.

Beliau juga tidak menolak faktor institusi kekeluargaan yang rapuh, dari sudut ilmu keibubapaan, boleh menyumbang kepada masalah sosial. Dalam hal ini, ibu bapa mendidik anak berdasarkan cara keturunan atau datuk nenek terdahulu dan ianya mungkin sudah tidak sesuai tanpa ilmu kekeluargaan secukupnya pada zaman yang serba mencabar kini.

“Memanusiakan anak adalah lebih utama sebelum ajaran agama diperkenalkan. Apakah maksud memanusiakan anak ini? Pentingnya di sini, ibu bapa perlu menjadi contoh teladan, menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu di samping menerapkan kasih sayang serta pengetahuan tentang agama dan kehidupan.

"Didikan agama dan didikan memanusiakan anak adalah paling utama. Dalam Islam sendiri ada menegaskan bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik. Ibu bapa perlu menerapkan nilai keagamaan, kasih sayang dan pengetahuan tentang kehidupan. Perlunya kita mencontohi bagaimana proses Rasullullah SAW dibesarkan dan menekankan faktor memanusiakan berasaskan emosi serta berlandaskan kasih sayang,” tambahnya.

Peranan pusat asuhan

Putri Afzan juga menyentuh peranan pengasuh di pusat asuhan kanak-kanak.

"Pengasuh perlu sedar mereka menghabiskan masa berkualiti yang lebih panjang dengan kanak-kanak itu berbanding ibu bapa anak-anak itu, justeru mereka mempunyai tanggungjawab besar.

"Kalau sudah memilih untuk menjadi pengasuh, mereka perlu memberikan masa dan fokus terhadap anak itu 100 peratus, dan bukannya melakukan perkara lain. Jikalau pengasuh ini rasa tidak boleh dan tidak ada pengetahuan tentang penjagaan kanak-kanak, maka jangan jadi pengasuh," tegasnya.

Dalam masa yang sama beliau juga menggesa ibu bapa memeriksa dan menyiasat latar belakang pusat asuhan dan bukan setakat yuran yang murah atau dekat dengan rumah semata-mata.

"Kalau berdasarkan kes rogol kanak-kanak di Perak itu, pengasuh dilaporkan ada pada masa ia berlaku. Adakah dia tidak mendengar anak menangis dan tidak mungkin dia tidak ambil peduli kenapa budak itu menangis, takkan dah tiga kali dirogol, baru nak sedar, itu bermakna dia mengabaikan tanggungjawabnya," katanya.

Putri Afzan yang menjalankan Pusat Perkembangan Minda Kanak-kanak sejak 2014 itu turut mencadangkan pihak berkuasa yang terlibat dalam proses mengeluarkan lesen agar dapat melihat kembali tatacara operasi standard (SOP) dalam memudahkan urusan mereka yang ingin membuka pusat asuhan di samping memastikan kualiti terjaga.

Menurut beliau, proses mendaftarkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) atau rumah asuhan yang mempunyai 'kerenah birokrasi' dan rumit menyebabkan pengusaha mengambil jalan singkat menjalankan pusat asuhan tanpa lesen.

Sementara itu, Pakar Psikologi dan Kriminalogi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata ketersediaan dan akses mudah bahan pornografi serta sifat ingin tahu membawa kepada kematangan seks pada usia yang lebih muda berbanding 10 tahun dahulu yang akhirnya menyumbang kepada masalah sosial.

Beliau berkata ajakan kenalan, kecuaian ibu bapa, akses bahan daripada adik-beradik yang lebih tua, 'sexual grooming', dan pendedahan secara tidak sengaja juga menyumbang kepada pencetusan dan pengekalan tingkah laku seksual kanak-kanak.

"Penglibatan awal atau pendedahan awal kanak-kanak kepada aktiviti seksual sering bermula dalam rumah. Ibu bapa atau penjaga sendiri mempunyai bahan pornografi dalam bentuk cakera padat, langganan dalam talian yang dimuat turun dan disimpan dalam pelbagai gajet.

"Kebanyakan ibu bapa membiarkan anak-anak bermain dengan gajet mereka secara sengaja, tidak sengaja, malah tidak kisah dengan pendedahan pornografi tersebut. Sehinggakan terdapat ibu bapa dan penjaga yang mengajak kanak-kanak menonton bahan-bahan tersebut," katanya.

Geshina berkata pendedahan awal secara berterusan itu akan menaikkan sifat ingin tahu dan rasa ingin mencuba yang akhirnya menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mencari teman meneroka dunia seks melalui ajakan, paksa, ancaman, dan melalui pelbagai cara lagi.

"Kanak-kanak dan remaja ini akan melakukan aktiviti seksual seperti apa yang dilihat, walaupun maklumat mengenai seks itu adalah salah, agresif, luar tabii, atau memudaratkan," katanya.

Permulaan kelakuan seks yang tidak wajar akan terus menjadi cara gaya mendapatkan kepuasan seks, di mana kelakuan seks berkemungkinan menjadi lebih ganas dan membentuk ketagihan seks yang keterlaluan, katanya.

Terjebak dalam jenayah

Mengulas lanjut, Geshina berkata banyak kajian menunjukkan permulaan penglibatan jenayah melibatkan usia muda.

Bagi individu yang berjinak-jinak dengan aktiviti projenayah pada usia yang lebih muda, dia akan kekal dalam dunia projenayah dalam tempoh lama kerana tingkah laku projenayah sudah menjadi tabiat atau kebiasaan.

"Apa yang membahayakan ialah kanak-kanak pada mulanya tidak tahu sesuatu tingkah laku atau aktiviti itu melanggar undang-undang, norma, dan nilai kehidupan. Ia kemudiannya akan menghasilkan kesan riak yang negatif bermula daripada pembentukan perwatakan yang projenayah kepada kaedah bergaul, persepsi, dan sikap terhadap orang lain," tambahnya.

Katanya, kesalahan tetap berlaku namun penyelesaian perlu berfokus kepada pendekatan restoratif iaitu pendekatan bersifat pemulihan dan bukan hukuman semata-mata agar kedua-dua mangsa dan pemangsa kanak-kanak mendapat keadilan.

"Pemangsa kanak-kanak juga merupakan mangsa yang perlu diberi perhatian atas pengabaian, kecuaian, dan pendedahan seksual yang tidak sepatutnya berlaku dalam persekitaran rumah yang sewajarnya selamat," jelasnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS