Paling Popular
Terkini

FAQ | Berikut adalah soal jawab isu mengenai tanah adat oleh Menteri Besar Perak, Faizal Azumu.

Soalan 1: Tanah Adat tak wujud di negeri Perak - Menteri Besar nafi hak orang Asli?

Fakta: Isu ‘Tanah Adat’ timbul apabila MB menjawab soalan daripada wartawan berhubung isu tuntutan sekumpulan komuniti Orang Asli di Hulu Perak supaya kerajaan negeri mengiktiraf ‘Tanah Adat’ mereka.

Dalam jawapannya, MB menjawab secara spesifik bahawa tidak ada terma rujukan ‘Tanah Adat’ di negeri Perak kerana tidak ada perkataan ‘Tanah Adat’ dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Apa yang mendukacitakan, laporan sesetengah media seolah-olah memberi gambaran MB tidak mengiktiraf atau memahami hak-hak Orang Asli. Hakikatnya MB sekadar menyatakan fakta bahawa negeri Perak tidak menggunakan terma ‘Tanah Adat’. Ini kerana tiada sebarang enakmen di Perak yang merujuk kepada ungkapan ‘Tanah Adat’.

Justeru, tuduhan bahawa MB telah menafikan hak-hak Orang Asli sama sekali tidak berasas. Malah, kerajaan negeri Pakatan Harapan komited untuk membaiki taraf hidup Orang Asli di Perak.

Untuk makluman, kerajaan Perak telah meluluskan rizab tanah hampir 14,000 hektar tanah untuk 70 penempatan Orang Asli di negeri ini di bawah Akta Orang Asli 1954. Kebanyakan rizab Kawasan Rayau dan Penempatan Orang Asli ini terletak dalam kawasan hutan simpan. Ia melibatkan kawasan penempatan dan juga kawasan tanaman yang diusahakan.

Kerajaan Pakatan Harapan Perak juga telah memulakan proses untuk menambah rizab ini sebanyak 5,176 hektar untuk 27 lagi penempatan Orang Asli. Ini adalah jumlah rizab untuk Orang Asli yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak tidak merujuk rizab ini sebagai ‘Tanah Adat’.

Untuk makluman, beberapa bulan selepas dilantik kerajaan Pakatan Harapan dibentuk, MB telah mengarahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC negeri Perak) untuk mengambil penempatan-penempatan Orang Asli sebagai kampung angkat.

Di bawah program ini, syarikat-syarikat GLC negeri mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup komuniti Orang Asli secara holistik merangkumi bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional, aktiviti ekonomi dan pelbagai inisiatif.

Program kampung angkat ini dijalankan sepanjang tahun, bukan seperti program CSR biasa secara ‘one-off’. Sehingga ini, sekurang-kurangnya 10 penempatan Orang Asli di Perak telah diambil sebagai kampung angkat syarikat-syarikat GLC dan bilangan ini semakin bertambah.

Soalan 2: Kerajaan negeri Perak rampas 'Tanah Adat' untuk pembalak.

Fakta: Berlaku salah faham di kalangan masyarakat selepas beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari luar negeri Perak membuat tuduhan yang kawasan pembalakan terletak di atas ‘Tanah Adat’ Orang Asli.

Semua kawasan pembalakan yang berlesen adalah dalam kawasan Hutan Simpan di Perak dan sama sekali tidak melibatkan tanah penempatan Orang Asli. Tiada satu pun kawasan atau tanah yang sedang didiami oleh masyarakat Orang Asli telah diceroboh bagi tujuan pembalakan. Jelas sekali, tidak ada sebarang kejadian komuniti Orang Asli yang kehilangan tempat tinggal atau dihalau akibat aktiviti pembalakan.

Isu ‘Tanah Adat’ hanya timbul selepas sekumpulan Orang Asli Kampung Cunex mendakwa kawasan pembalakan di Hulu Perak adalah tanah milik nenek moyang mereka. Untuk makluman, kumpulan penduduk Kampung Cunex adalah kumpulan serpihan daripada kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala. 

Kumpulan 26 keluarga ini telah berpindah keluar daripada RPS Dalam pada tahun 2017 susulan perselisihan faham dengan ketua kampung mereka. Kumpulan ini telah membuka penempatan baru dalam kawasan Hutan Simpan Air Cepam – lebih kurang 5 kilometer daripada RPS Dala. Mereka kemudian membina hadangan (blockade) untuk menghalang aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Cepam yang bukannya berada dalam kawasan penempatan mereka.

Mereka mendesak kerajaan negeri untuk iktiraf 12,465 hektar tanah di tiga daerah; Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Sungai Siput sebagai ‘Tanah Adat’ mereka. 

Untuk makluman, pasukan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) negeri telah melawat Kampung Cunex pada 1 April 2019 untuk menyiasat permohonan ‘Tanah Adat’ dan perkara ini masih dalam proses pertimbangan.

Blockade yang didirikan berdekatan Kampung Cunex telah membawa kepada pembinaan satu lagi blockade membantah aktiviti pembalakan oleh komuniti Orang Asli Sungai Papan.

Mereka mendakwa kawasan pembalakan - yang terletak sejauh 25 kilometer daripada lokasi penempatan mereka, sebagai ‘Tanah Adat’ mereka.

Penting untuk ditegaskan bahawa semua permit pembalakan di Perak mematuhi syarat Catuan Tebangan Tahunan (CTB) yang telah ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara, bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk industri perkayuan negeri.

Tuduhan dan dakwaan MB menyebelahi syarikat-syarikat pembalak dan mengetepikan hak- hak Orang Asli sama sekali tidak berasas. Hakikatnya, MB telah membekukan aktiviti pembalakan di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kerajaan negeri perlu mengambil kira konsesi-konsesi balak yang telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu. Tindakan membekukan kesemua konsesi balak ini akan menyebabkan implikasi kewangan yang sangat besar kepada kerajaan negeri, khususnya risiko tindakan undang- undang.

Perkara yang juga perlu dipertimbangkan adalah golongan pekerja yang bergantung kepada sektor pembalakan dan industri berasaskan kayu. Begitu pun, MB telah menekankan kepada sektor pembalakan mesti dijalankan dengan bertanggungjawab dan secara lestari.

Untuk rekod, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, pihak Jabatan juga telah berjaya mengekalkan Sijil Pengurusan Hutan semenjak  tahun 2001 sehingga kini. Dalam pensijilan ini, pihak Jabatan perlu mematuhi 9 Kriteria yang telah ditetapkan dan akan dinilai setiap tahun oleh Penilai Audit Bebas. Selain itu, perlu dijelaskan bahawa 48 peratus daripada mukabumi negeri Perak masih dilitupi oleh hutan.

Pihak Jabatan senantiasa memantau dan memastikan pihak pelesen mematuhi semua prosedur, syarat-syarat dan tatacara yang telah ditetapkan. Pematuhan terhadap kepada lebar minimun kawasan zon penampan alur air, alur air sentiasa bebas daripada pencemaran oleh sisa pembalakan dan bahan buangan, memastikan pokok Ibu sebanyak 4 pokok sehektar, pokok tebangan tidak melebihi 12 pokok/hektar, memastikan pokok perlindungan sebanyak 32 pokok untuk makanan fauna juga tidak ditebang dan dimusnahkan semasa aktiviti pembalakan serta memastikan kawasan pengusahasilan tidak melebihi ketinggian 1,000 meter.

Soalan 3: Apakah pendirian kerajaan negeri berhubung hak masyarakat Orang Asli? 

Fakta: Kerajaan negeri telah membekukan semua aktiviti pembalakan di kawasan yang menjadi pertikaian. Ini bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk berbincang dengan komuniti Orang Asli berkaitan bagi mencari yang dapat diterima oleh semua pihak berkepentingan. Adalah ditegaskan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan komited untuk mencapai penyelesaian yang adil dan saksama untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan.


AHMAD FAIZAL AZUMU ialah menteri besar Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS