Malaysiakini
BERITA

Lambakan hartanah akibat peraturan pinjaman ketat - Dewan Perdagangan

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Ogs 2019, 8:19 pagi

Peraturan pinjaman yang ketat telah menyebabkan industri hartanah di negara ini mengalami lambakan di beberapa segmen, menurut Presiden Dewan Perdagangan Asean Datuk Moehamad Izat Emir.

Beliau berkata pembeli rumah kali pertama juga harus mendapat akses mudah bagi pembiayaan munasabah untuk rumah mereka.

“Bagi individu yang mempunyai masalah pembiayaan bulanan dalam keadaan semasa, bank diminta bertimbang rasa untuk memudahkan mereka dan pembiayaan semula mungkin merupakan satu-satunya pilihan pembeli yang enggan kehilangan hartanah,” katanya semasa menjadi tetamu program ‘The Nation' yang disiarkan di Bernama News Channel (BNC) semalam.

Moehamad Izat menyarankan kerajaan menyediakan lebih banyak unit rumah mampu milik atau rumah di bawah skim sewa-dan-beli (RTO).

Menurut data terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, jumlah unit yang tidak terjual di negara ini terus meningkat kepada 58,078 bernilai RM37.23 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2019, kenaikan 5.5 peratus dari segi unit dan 4.1 peratus dari segi nilai berbanding tahun lepas.

Data itu menunjukkan hartanah perumahan menyumbang jumlah tertinggi iaitu 32,936 unit bernilai RM19.96 bilion, diikuti pangsapuri perkhidmatan (13,013 unit benilai RM10.18 bilion), kedai (5,472 unit bernilai RM4.5 bilion), SOHO (1,537 unit bernilai RM707.82 juta) dan hartanah industri (1,120 unit bernilai RM1.87 bilion).

Sebanyak 20,863 rumah bernilai RM17.59 bilion daripada hartanah perumahan yang tidak terjual berharga melebihi RM300,000.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.