Paling Popular
Terkini

Hakim dan majistret diingatkan agar tidak menjemput mana-mana pihak yang sedang dibicarakan untuk memasuki kamar mereka tanpa pihak ketiga, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Berucap di majlis mengangkat sumpah hakim di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini, Tengku Maimun berkata tidak wajar jemputan sebegitu dibuat oleh mana-mana hakim walaupun individu yang dipelawa itu adalah rakan karib mereka.

"Saya ingin mengingatkan para hakim agar mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan seperti peguam, timbalan pendakwa raya (atau) peguam persekutuan yang mempunyai kes di hadapan mereka agar tidak memasuki kamar hakim tanpa kehadiran pihak lain walaupun mereka adalah kawan rapat hakim tersebut.

"Ini adalah menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah," katanya.

Menurut Tengku Maimun beliau mendapat laporan bahawa hal sebegitu berlaku di mahamah majistret dan mahkamah sesyen. Justeru beliau mengarahkan agar tindakan sedemikian dihentikan serta-merta.

Sementara itu ditemui media selepas majlis berlangsung, Tengku Maimun menjelaskan amalan menjemput pegawai perundangan ke kamar hakim atau majistret tidaklah berlaku secara berleluasa.

Namun katanya pihak yang berkenaan perlu memahami bahawa seseorang hakim mahkamah sesyen, majistret dengan timbalan pendakwa raya peguam persekutuan adalah daripada skim perkhidmatan yang sama.

Timbulkan rasa syak

Malah katanya mereka juga mungkin belajar di tempat yang sama dan menjadi kawan.

"Jadi kita ingin ingatkan, walaupun kawan-kawan jika ada timbalan pendakwa raya atau hakim persekutuan yang ada kes, cuba seboleh mungkin untuk tidak dilihat berdua saja, tanpa satu pihak (yang lain) lagi, kerana ini boleh menimbulkan syak," katanya.

Menurut Tengku Maimun jika hal sedemikian berlaku memang ada asas untuk orang ramai meragui kemungkinan wujud sikap berat sebelah dalam penghakiman.

Pada masa sama Tengku Maimun menjelaskan tidak semestinya apabila pegawai perundangan memasuki kamar hakim pasti ada berlaku sesuatu perbuatan menyalahi undang-undang.


Baca SPRM berkas hakim mahkamah sesyen


Beliau juga mengakui agak sukar untuk menguruskan tingkah laku seseorang.

"Apa yang boleh kita buat ialah peringatkan mereka supaya mematuhi kod etika yang ada.

"Kadang-kadang perjumpaan itu sekadar berbual-bual kosong tetapi implikasinya boleh menimbulkan syak di pihak yang lain," katanya.

Sementara itu Tengku Maimun juga mengingatkan agar semua hakim bertindak membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh pihak eksekutif atau legislatif.

Apabila mereka membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan katanya, itu bukan bermakna institusi kehakiman lebih berkuasa daripada pihak eksekutif.

"Badan kehakiman hanya melaksanakan tugasnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS