Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai Temon pula dicemari sampah sarap, sisa binaan

Belum pun reda kes pencemaran di beberapa buah sungai di Johor, kini timbul pula isu Sungai Temon yang dicemari dengan sampah sarap serta sisa bahan binaan, yang berpunca daripada aktiviti pembuangan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata Sungai Temon berhampiran dengan perkampungan Orang Asli Seletar itu difahamkan telah menjadi tempat pembuangan sampah haram sejak setahun yang lepas.

Katanya penduduk sekitar mendakwa ada lori memasuki kawasan perkampungan itu secara senyap-senyap pada lewat malam, dipercayai untuk membuang sisa-sisa haram.

“Kerajaan negeri bimbang sekiranya ada pembuangan sisa toksik yang akan menjejaskan sungai ini tetapi setakat ini, tiada sisa itu dibuang di sini.

“Saya difahamkan sungai sepanjang 500 meter ini mengalir keluar ke Selat Tebrau. Jadi kita khuatir ia akan menjejaskan lagi perairan kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Sungai Temon, perkampungan Orang Asli Seletar di Johor Bahru, hari ini.

Tan berkata selain sungai itu, satu tapak tanah berhampiran sungai itu turut dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

Sehubungan itu dengan bantuan pelbagai pihak antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, satu operasi bersepadu akan dilakukan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai berkenaan, tambah beliau.

“Saya juga ada memberi cadangan kepada pihak SW Corp untuk membuat benteng bagi menghalang lori atau apa-apa kenderaan masuk dan pihak JPS pula akan membersihkan kawasan ini. Dalam masa sama, kita akan mengesan pemilik tanah kawasan tapak pembuangan haram itu,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu pembakaran terbuka di tapak pembuangan sampah haram di Kempas, Tan menjelaskan pihaknya sudah mengenalpasti dua daripada tiga pemilik plot tanah berkenaan.

“Kita sudah kenal pasti, JAS sedang menyiapkan kertas siasatan. Tindakan secepatnya akan diambil sebaik siasatan lengkap sebelum ia dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS