Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Replika nak diroboh: Bukan kami tak sayang, kata DBP

Selepas siapnya menara yang menjadi mercu tanda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hampir 20 tahun lalu, binaan seperti buku tengadah itu menjadi identiti yang mudah dikenal orang.

Binaan itu dianggap sesuai dengan kedudukan DBP berkenaan sebagai badan yang mengelolakan hal ehwal bahasa serta persuratan negara.

Kini replika itu bakal dirobohkan segera atas nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana melibatkan aspek keselamatan.

Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata walaupun dengan robohnya binaan itu maka reka bentuk bangunan DBP akan berubah, ia tetap perlu dilaksanakan.

Katanya kakitangan DBP sendiri menyimpan nostalgia tersendiri dengan adanya binaan simbolik tersebut namun keselamatan orang sekeliling harus diberi lebih keutamaan.

“Bangunan telah berusia hampir 20 tahun. Banyak penyenggaraan dan penggantian peralatan perlu dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi.

Beliau yang dilantik menjadi ketua pengarah DBP pada Jan lalu menambah, buat masa ini belum ada sebarang cadangan untuk membina replika menggantikan struktur tersebut kerana apa yang mendesak ialah perobohannya perlu disegerakan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Tentang penggantiannya, ia akan difikirkan kemudian," katanya lagi.

Kerja tak cerdik

Menurut Abang Sallehuddin, binaan kitab tengadah itu mengalami kerosakan kerana diperbuat daripada besi dan diletakkan di tempat yang kurang sesuai iaitu berhampiran menara penyejuk.

Keadaan itu, tambahnya, memberi kesan kepada binaan tersebut.

Semalam bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, memuat naik hantaran di Facebooknya bagi mengulas keputusan DBP merobohkan replika berkenaan.

Menurut Ku Seman, rekaan struktur itu - yang dianggapnya menyerupai rehal - dilihat sebagai syiar Islam sesuai dengan agama itu sebagai agama persekutuan.

“Saya juga melihat kerja tidak cerdik merobohnya sebagai ciri-ciri Islamafobia,” kata Ku Seman.

Menerusi ruangan komen pula pengguna media sosial rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan DBP dan menggesa agensi itu tidak merobohkan ia, sebaliknya membaiki bahagian yang rosak.

Abang Sallehuddin

Abang Sallehuddin berkata dari satu segi memang imej DBP boleh terjejas dengan keputusan mereka merobohkan binaan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika ada kejadian tidak diingini berlaku kesan daripada binaan tersebut dibiarkan, ia jauh lebih mencalar imej DBP.

“Imej DBP bukan setakat pada bangunan tetapi lebih kepada usaha memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu serta memberi nilai ekonomi kepada bahasa kebangsaan kita.

“Pada masa sama DBP juga berusaha meningkatkan imej fizikalnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Abang Sallehuddin mengakui banyak pihak akan mempertikai keputusan berkenaan namun nasihat JKR harus diberi keutamaan.

Abang Sallehuddin turut menjelaskan, sekiranya hendak dibina replika lain diatas bangunan berkenaan ia akan memakan kos sehingga RM12 juta.

“Kami sedar akan ada orang mempertikaikan. Kami sendiri pun ada perasaan nostalgia terhadap simbol buku ini tetapi keselamatan dan nasihat daripada pihak JKR perlu diutamakan,” katanya.

Lihat Komen
ADS