Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR, Kem Pendidikan giat sebar ilmu pilihan raya di sekolah, IPT
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Selepas pindaan perlembagaan bagi membolehkan umur minimum pengundi diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menunggu lama untuk mengatur langkah memberi pendedahan mengenai proses demokrasi kepada golongan pelajar.

Sehingga 31 Julai lalu melalui kerjasama dengan Kelab Malaysiaku dari Jabatan Penerangan dan Maktab Rendah Sains Mara, sebanyak 109 program Pendidikan Sivik mengenai pilihan raya dijalankan dengan penyerataan seramai 25,489 pelajar.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Pendidikan serta SPR hari ini, mereka menjelaskan maklumat mengenai proses perjalanan pilihan raya juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Proses itu, kata kenyataan tersebut, dibuat tanpa perlu melakukan pindaan dalam buku teks.

"Bagi memastikan semua pelajar dan guru mendapat maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya, SPR dan Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kod QR pada buku teks sekolah.

"Dengan itu para pelajar dan guru bolehlah mendapatkan maklumat terkini dengan mengimbas kod QR tersebut.

"Ini akan memastikan semua pelajar dan guru mendapat maklumat terkini mengenai isu berkenaan tanpa memerlukan pindaan buku teks," kata kenyataan berkenaan.

Untuk golongan mahasiswa pula, SPR - melalui Akademi Pilihan Raya (APR) menjalankan program pendidikan pengundi pada 2017 membabitkan universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan Kementerian Kesihatan, institut pendidikan guru dan institusi pendidikan Mara.

Tingkat tahap kesedaran

Pada tahun ini pula kata kenyataan tersebut program berkenaan diperluaskan ke kolej matrikulasi serta beberapa badan lain yang berkaitan.

"SPR bersama Kementerian Pendidikan merancang untuk menganjurkan Program Pendidikan Sivik - Road To School membabitkan 2,436 sekolah menengah di seluruh Malaysia pada 2020.

"Ini akan melibatkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan enam.

"Dianggarkan seramai 545,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada program ini," katanya.

Selain itu SPRM juga menyarankan agar diadakan program forum atau dialog di universiti awam untuk meningkatkan kesedaran siswa kepada proses demokrasi dan pilihan raya.

Tidak ketinggalan kata SPR dan Kementerian Pendidikan akan melatih siswa sebagai penceramah atau jurulatih bagi mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik dalam kalangan pelajar.

"Setakat ini seramai 187 siswa dilatih dan mereka giat membantu SPR mengendalikan program tersebut," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, SPR dan Kementerian Pendidikan akan menandatangani perjanjian persefahaman untuk melaksanakan program kerjasama pendidikan dalam kalangan pelajar serta siswa dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS