Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Lynas: Wong Tack, Tan, Fuziah tak wakili kami, kata penduduk
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 8:51 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

Penduduk sekitar Balok, Kuantan hari ini membuat laporan polis terhadap aktivis anti-Lynas, Tan Boon Teet dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack yang mendakwa mereka mewakili mereka berhubung isu Lynas Corporation Ltd.

Menurut wakil penduduk, Shaharuddin Samsudin, dua individu berkenaan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh tidak mewakili penduduk dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi itu.

"Wakil penduduk kawasan ini ialah ketua kampung, wakil rakyat termasuk Anggota Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dan Adun Beserah, Andasura Rabu. Mereka (Tan, Wong dan Fuziah) tidak mewakili penduduk sekitar ini.

"Bahkan penduduk di sini tidak mempunyai masalah dengan kilang Lynas yang disahkan selamat. Malah, ramai penduduk kerja di kilang berkenaan.

"Cukuplah-cukuplah mempolitikkan isu kilang Lynas yang disahkan selamat oleh dua kumpulan pakar yang dilantik sewaktu zaman BN dan PH," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Laporan polis terhadap Tan dan Wong dibuat di balai polis Beserah kira-kira jam 4 petang tadi oleh Ketua Kampung Balok, Mansor Mokhtar.

Menamatkan operasi kilang nadir bumi yang dibawa masuk ketika era kerajaan BN menjadi salah satu perjuangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagaimanapun selepas PH mengambil alih Putrajaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membenar kilang Lynas meneruskan operasinya.

Keputusan itu mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin PH yang memperjuangkan isu Lynas termasuk Fuziah dan Wong.

Kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Pada 5 Ogos lalu, Fuziah mengakui kerajaan kini berasa tersepit berhubung isu Lynas kerana pihak yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses adalah negara Jepun.

Beliau berkata Jepun merupakan negara yang meminjamkan wang kepada Malaysia dalam bentuk Bon Samurai.

Lihat Komen
ADS