Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam pidato yang memberi fokus kepada tajuk 'Islamophobia', pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik tampil memuji keberanian Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya tegas melontarkan bantahan terhadap kuasa besar dunia seperti AS.

Menurutnya, ia susulan kritikan berterusan perdana menteri ketujuh Malaysia itu terhadap AS dan United Kingdom (UK) yang mencetuskan perang dan konflik di Timur Tengah khususnya serangan ke atas Iraq.

"Dr Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Islam yang mewujudkan Tribunal Jenayah Perang (Kuala Lumpur) pada 2011 yang memutuskan bahawa UK dan AS telah membuat bukti palsu bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.

"Tidak ada negara Muslim lain yang mempunyai keberanian untuk melakukannya kecuali Malaysia," katanya di hadapan lebih 30,000 hadirin yang membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, sempena acara terakhir program Jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan 2019 di Kota Baru, malam tadi.

Tambah Zakir, bekas presiden AS George W Bush dan bekas perdana menteri UK Tony Blair menggunakan bukti palsu sebagai alasan untuk menyerang Iraq pada tahun 2003.

Selepas lima tahun prosiding oleh tribunal yang diasaskan Dr Mahathir melalui Pertubuhan Keamanan Global Perdana itu, katanya, siasatan terperinci juga dilakukan di Britain dan mendapati tindakan AS dan UK menyerang Iraq dengan AS hanya bersandarkan maklumat yang tidak tepat.

"Beliau (Dr Mahathir) adalah salah seorang daripada beberapa pemimpin Islam yang mempunyai keberanian.

"(Dengan keputusan tribunal itu) jika Bush dan Blair menjejakkan kaki ke negara ini, kita akan menangkap mereka.

"Tidak ada negara Islam di dunia yang melakukannya, kecuali Malaysia. Alhamdulillah," katanya disusuli tepukan gemuruh hadirin.

Sebelum ini Zakir turut memuji Dr Mahathir kerana membantah ekstradisi kerajaan India supaya pendakwah antarabangsa itu dihantar pulang kerana berdepan tuduhan jenayah.

Namun, Dr Mahathir menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India, sekiranya pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir Naik.

Zakir yang kini bertaraf penduduk tetap Malaysia sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis parlimen pada 11 Julai lalu memaklumkan Zakir tiada dalam senarai notis merah (RCN) Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).


Lihat Komen
ADS