Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pada hari ini, jutaan Umat Islam termasuk dari Malaysia akan berkumpul di Arafah, Makkah pada kemuncak ibadat haji sekali gus menyempurnakan sebahagian daripada rukun Islam.

Kemuncak ibadat haji ini merupakan hari yang penuh berkat, hari ketika umat Islam diseru memperbanyakkan doa memohon keampunan Allah SWT.

Bagi mereka yang menjadi tetamu Allah SWT, tiada yang diharapkan melainkan keampunan serta beroleh haji mabrur.

Kita sering dengar mengenai cerita-cerita 'mistik' sesetengah orang ketika menunaikan ibadat haji, ada cerita mereka yang tak dapat melihat kaabah ketika di tanah suci, begitu juga ada yang sakit sepanjang di tanah haram Makkah.

Sehingga menyebabkan mereka tidak dapat beribadat dan menyempurnakan haji.

Pada masa sama, terdapat segelintir umat Islam yang menunaikan ibadat haji, dalam masa sama mengambil kesempatan melakukan amalan-amalan yang secara tidak langsung menjerumuskan mereka kepada perbuatan kurafat.

Perbuatan-perbuatan khurafat ini didedahkan sendiri oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepajang mengendalikan jemaah haji di bumi suci itu.

Malah, beberapa hari lalu, TH turut menegur amalan khurafat segelintir kecil jemaah haji yang kononnya menanam wang untuk dijadikan ibu duit di Arafah, Makkah bagi mendapatkan keuntungan berganda.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Operasi (Bimbingan) TH, Tengku Aziz Raja Abdullah.

Namun, bagi TH yang sememangnya cukup berpengalaman, banyak lagi amalan-amalan khurafat yang dilakukan jemaah, seperti mengambil kelambu kaabah untuk dijadikan pelaris jualan bagi mereka yang berniaga.

Selain itu, terdapat juga perangai pelik jemaah haji yang dikatakan membawa air zam-zam, kurma dan wang semasa tawaf mengelilingi kaabah.

Ia kononnya untuk dijadikan penawar ataupun ubat bagi penyakit dan wang pula adalah untuk dijadikan ibu duit sebagai pelaris.

Begitu juga amalan-amalan khurafat yang dilakukan oleh segelintir jemaah haji seperti memeluk tiang jin di Masjidil Haram dan memohon untuk dilanjutkan usia dan diberi kekayaan.

Terdapat juga segelintir umat Islam menjadikan kain putih sebagai sejadah ketika solat di Masjidil Haram sepanjang di tanah suci.

Kain putih itu kemudiannya dibawa balik untuk digunakan sebagai kain kapan apabila mati kelak kerana dipercayai dapat meringankan seksaan di alam barzakh.

Umat Islam sepatutnya lebih berhati-hati dalam perbuatan ketika di tanah suci kerana khuatir melakukan amalan syirik dan menyekutukan Allah SWT.

Berpada-padalah ketika berada di tanah suci, jangan melakukan perkara 'karut'. Cukuplah sekadar dengan membawa diri dan hati kepada Allah serta mengharapkan pengampunan daripada-Nya serta memperoleh haji mabrur.

Seungguhnya Allah SWT maha mengetahui, maha berkuasa dan tidak pernah silap dalam percaturannya.

Namun, di tanah suci Makkah sememangnya terdapat banyak tempat-tempat mustajab untuk berdoa. Bahkan, keseluruhan tanah haram itu mustajab untuk memohon doa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Bagaimanapun kawasan Hijir Ismail, di bawah pancur emas Kabaah misalnya, antara sebahagian tempat-tempat yang dianggap mustajab untuk menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

Cukuplah sekadar berdoa dan memohon kepada Allah, janganlah sesekali melakukan perbuatan khurafat dikhuatiri ibadat haji hanya akan menjadi sia-sia.

Lihat Komen
ADS