Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Boleh dianggap baru berusia setahun jagung, namun sama ada disukai atau tidak, Amanah adalah sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

Dengan jumlah kerusi yang terhad, pemimpinnya menduduki jawatan kanan atau penting sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Semuanya nampak berjalan dengan lancar sehinggalah tiba musim pemilihan parti yang bermula baru-baru ini. Dikhabarkan ada pihak yang melihat parti berpucuk hijau muda itu sebagai tempat yang subur untuk perjalanan yang mereka rancang.

Tiba-tiba muncul dakwaan bahawa anggota Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang menyertai Amanah cuba menguasai parti berkenaan melalui pemilihan parti.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini memang gerakan itu disedari namun ia tidak begitu ketara sebagai usaha yang menyeluruh.

"Ia mula dilihat bergerak selepas pilihan raya umum (PRU) tahun lepas," kata seorang sumber yang enggan didedahkan identitinya.

Menurut pemimpin Amanah peringkat negeri itu, cubaan berkenaan berjalan di peringkat kebangsaan dan tempatan. Cuma, katanya, jika diperingkat negeri ia kurang ketara berbanding di peringkat pusat.

"Ia telah dan akan dibuat. Dari pucuk sampai akar," katanya berkias.

Belum sampai memudaratkan

Beliau juga mengesahkan beberapa pemimpin yang bertanggungjawab mendirikan Amanah sudah kecundang dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Untuk rekod, sebelum ini Ikram lebih dikenali sebagai pertubuhan yang gigih menjalankan kerja-kerja dakwah, kebajikan dan kemanusiaan.

Tiada sebarang ciri kepartian dapat dilihat dengan jelas pada pertubuhan tersebut.


Baca: Tuduhan Ikram nak kuasai Amanah berniat jahat


Bagaimanapun apabila Amanah ditubuhkan, ada pemimpin kanan Ikram menyertainya sebagai anggota pengasas.

Sementara itu sumber lain mendakwa usaha orang Ikram membina pengaruh dalam Amanah sambil mempromosikan pertubuhan tersebut berbanding mempopularkan parti.

Namun katanya hanya segelintin individu berbuat demikian dan belum sampai ke tahap memudaratkan Amanah.

"Memang ada cubaan orang Ikram mahu menguasai Amanah melalui pemilihan. Ada yang berjaya, ada yang gagal," katanya.

Sumber dari Pantai Timur itu menambah melalui Amanah agak ramai anggota Ikram mendapat tempat dalam pelbagai agensi kerajaan pusat.

Katanya anggota Ikram berkenaan diletakkan ke posisi tertentu melalui lantikan politik.

"Misalnya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamian Malaysia (Yadim).

"Namun jangan salah faham. Ia bukanlah dirancang dengan niat tertentu kerana orang yang dilantik itu memang berkelayakan. Cuma secara kebetulan mereka anggota Ikram," katanya.

Setakat ini, kata sumber dari Amanah Kelantan itu, beberapa kawasan di Selangor sudah dikuasai kumpulan Ikram, namun beliau enggan mendedahkan secara terperinci lokasi yang dimaksudkan.

"Tak ada masalah sangat, sebab situasi sekarang tidak membimbangkan pun. Amanah tak ada apa-apa isu dengan Ikram sangat.

"Di Kelantan pula, hanya ada beberapa orang Ikram (mendapat tempat dalam kepemimpinan) tetapi mereka tidak terlalu menyerlah," katanya.

Sementara itu dalam kalangan penyokong Amanah sendiri, didapati mereka mula menunjukkan rasa kurang selesa sekiranya Ikram semakin menguasai parti itu.

Apa yang berlaku kini, kata mereka, disifatkan sebagai wujudnya organisasi dalam organisasi yang hanya akan merosakan parti itu sendiri pada masa depan.

Lihat Komen
ADS