Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Zong lancar petisyen bantah Jawi di sekolah vernakular
Diterbitkan:  Aug 10, 2019 7:19 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Pengerusinya Tan Tai Kim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Dong Zong pusat dengan Dong Zong negeri-negeri hari ini.

Katanya lagi, petisyen itu akan turut disertai sebahagian pertubuhan masyarakat Cina, lembaga pengelola sekolah vernakular, PIBG dan persatuan alumni serta pertubuhan Tamil.

Tan berpandangan tulisan Jawi dikaitkan dengan Islam, antaranya untuk menyebarkan Al-Quran, berdasarkan "kajian sesetengah cendekiawan dan karya sastera".

“Murid bukan Islam diperkenalkan pembelajaran khat bukan sahaja tidak diterima oleh komuniti bukan Islam, malah bercanggah dengan Artikel 12(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: "Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Bagaimanapun beberapa pihak sebelum ini menjelaskan tulisan Jawi tidak semestinya berkaitan dengan agama Islam walaupun berasal dari Arab.

Malah Kementerian Pendidikan sebelum ini berkata pembelajaran Jawi hanya melibatkan penulisan simpulan bahasa dalam tulisan itu.

Jawi merupakan sistem tulisan yang digunakan untuk Bahasa Melayu sebelum digantikan sistem tulisan Rumi.

Tan berkata lagi, Dong Zong menghormati khat Jawi dan budaya Islam serta menyokong usaha perpaduan kaum, tetapi Malaysia perlu ditadbir secara sekular berdasarkan "kontrak sosial" yang dipersetujui ketika kemerdekaan negara.

Katanya, petisyen itu untuk menggesa Kementerian Pendidikan membatalkan pembelajaran khat Jawi di sekolah vernakular dan mengekalkan bahagian pengenalan tulisan Jawi, Cina dan Tamil seperti di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 sebelum ini.

Selepas pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut, Kementerian Pendidikan pada 8 Ogos lalu berkata pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran.

Menurut menterinya Dr Maszlee Malik, tulisan khat Jawi juga dikurangkan kepada tiga muka surat, berbanding enam muka surat sebelum ini.

Hari ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang - antara pihak yang menyokong pembelajaran Jawi - mengakui tentang ketakutan antara kaum.

"Kita berada dalam keadaan di mana orang Melayu takut orang Cina dan Cina takut Melayu. Dulu, DAP dituduh cuba menghancurkan orang Melayu dan sekarang DAP dituduh mengkhianati orang Cina.

"Kita perlu keluar dari (perspektif) ini. Budaya kita tidak boleh hilang begitu mudah... Jika hanya tiga muka surat (pengenalan tulisan Jawi) boleh membuat budaya Cina hilang, maka saya fikir ada yang tak kena," katanya.

Lihat Komen
ADS