Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guna bahan lucah tunjuk contoh Jawi memalukan - Razlan
Diterbitkan:  Aug 12, 2019 10:24 AM
Dikemaskini: 7:57 AM

Tindakan MP Kluang Wong Shu Qi menggunakan bahan lucah bagi menunjukkan contoh bagaimana tulisan Jawi digunakan di luar skop agama Islam pada zaman dahulu memalukan penulisan seni khat itu, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii.

"Apa yang dilakukan oleh MP Kluang adalah satu yang tidak bertanggungjawab terhadap negara, ada banyak contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan DAP ikhlas dalam menyokong (pembelajaran tulisan Jawi).

"Untuk menunjukkan contoh bahan penulisan dalam Jawi, ada banyak contoh perjanjian Malaya dengan tulisan Jawi dan boleh tunjuk juga (akhbar Jawi) Utusan Melayu," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Razlan yang juga naib ketua Umno Bahagian Seputeh mengulas klip video di internet yang memaparkan ucapan Wong dalam majlis dialog dengan Persatuan Tiong Hwa dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina pada 9 Ogos di Kluang.

Wong pada majlis itu melakukan pembentangan menggunakan slaid bagi menerangkan tulisan Jawi telah digunakan sebagai sistem tulisan bahasa Meayu sebelum tahun 1956 serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja, malah turut digunakan untuk mengarang kitab Kristian dan bahan pornografi.

Menurut Razlan, anggota parlimen DAP itu cuba mensensasikan isu tersebut dan memalukan tulisan Jawi.

"Tapi apa yang beliau lakukan, adalah dengan sengaja untuk mencari isu dalam mensensasikan isu ini, dan mendapat tepukan dari Penyokong DAP dengan memalukan penulisan khat Jawi.

"MP ini harus menghormati perasaan di antara Melayu, tindakan menggunakan contoh bahan lucah adalah satu perkara yang bodoh dan ketinggalan zaman," tegasnya lagi.

Bagaimanapun, MP Kluang hari ini menjelaskan ucapannya dirakam tanpa kebenaran dan mendakwa Umno serta MCA telah memutarbelit kenyataannya.


BACA BERKAITAN: Ucapan tulisan Jawi karang buku porno dipetik luar konteks - MP Kluang


"Ucapan saya tersebut disampaikan dalam satu dialog dengan Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogos di Kluang.

"Ucapan saya telah dirakam tanpa kebenaran oleh seorang pemimpin MCA yang turut hadir.

"Dengan merujuk kepada ucapan saya yang sama, MCA mendakwa saya menyokong tulisan Jawi dengan tujuan menghasut orang Cina manakala Umno pula mendakwa saya menghina tulisan Jawi dengan tujuan menghasut orang Melayu.

"Tindakan jahat memutarbelit ucapan saya ini menunjukkan bahawa MCA dan Umno bersekongkol untuk memainkan sentimen perkauman dalam isu tulisan Jawi ini," katanya.

Lihat Komen
ADS