Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada hikmah RUU tukar agama tak jadi bentang di DUN'

Ada hikmahnya apabila rancangan kerajaan negeri untuk membentangkan RUU bagi membenarkan seseorang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam di Selangor menemui jalan buntu pada bulan lalu.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata hal itu memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mengkaji dan berbincang lebih teliti dengan semua pemegang taruh.

"Ini adalah perdebatan perundangan. Ada beberapa pandangan-pandangan dan kerangka itu kita lihat secara keseluruhannya.

"Ini bukan hanya soal ibu bapa, kita harus lihat keseluruhan semangat yang ada dalam perlembagaan dan niat dalam pindaan.

"Saya ingat ada baiknya hari itu tak dibawakan dan ia beri ruang kita bincang dengan lebih perinci terhadap persoalan ini dan selelsai perbincangan itu dapat saya tuntaskan dengan DYMM Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah), kita akan ambil langkah seterusnya.

"Bagi masa berbincang," katanya pada sambutan majlis rumah terbuka Aidiladha di Shah Alam hari ini.

Awal bulan ini, kerajaan negeri merancang untuk membentangkan RUU bagi membenarkan seseorang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran sepihak di DUN Selangor.

Amirudin dilaporkan merancang berbuat demikian biarpun berdepan bantahan daripada majoriti Adun PH, termasuk daripada kabinetnya sendiri.

Plot singkir Amirudin

Bagaimanapun, rancangan itu tidak kesampaian selepas Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim dikatakan enggan menandatangani dokumen bagi membenarkan enakmen itu dibentangkan.

Susulan laporan tersebut, Amirudin dan Ng saling mengeluarkan kenyataan menjelaskan kenapa ia tidak dibentangkan.

Speaker DUN menafikan beliau memendekkan tempoh sidang dewan undangan negeri kepada dua hari bagi menghalang pembentangan pindaan itu.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Secara kebetulan, isu ini timbul ketika spekulasi mendakwa terdapat plot untuk menyingkirkan Amirudin yang dianggap sekutu rapat Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Ditanya mengenai gesaan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin supaya beliau menjelaskan pindaan RUU itu kepada orang ramai dan PH, Amirudin berkata dia perlu bercakap dengan menteri itu terlebih dahulu untuk memahami apa yang dimaksudkannya itu.

"Saya kena jumpa YB Zuraida, apa maksud sebenar pernyataan itu sebenarnya, saya tak ada masalah untuk buat penjelasan," kata Amirudin.

Ketika ditanya pendiriannya mengenai desakan daripada PH supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sehingga habis penggal, Amirudin berkata beliau akan berbincang dengan gabungan itu dan bukan bercakap kepada media.

Mengenai kejadian seorang lelaki berusia 29 tahun maut digilis di Bangi, Amirudin menggesa semua pihak menolak keganasan tanpa mengira latar belakang pelakunya.

Beliau juga menggesa semua pihak membenarkan pihak polis melakukan siasatan terhadap kes itu.

"Saya rasa baik pihak polis menyelesaikan siasatan.

"Tindakan-tindakan brutal dan zalim ini memang tak boleh diterima dalam komuniti. Siapa pun buat.

"Saya harap ia tak dilihat dalam kerangka perkauman dan paling penting, tindakan ganas, brutal harus dilawan, ditentang semua pihak," katanya.

Pada Sabtu lalu, kemalangan kecil di Lebuh Raya Plus bertukar tegang di antara mangsa dan seorang lagi pemandu. Kejadian itu berakhir dengan mangsa digilis oleh kereta pemandu yang bertelagah dengannya.

Polis menolak faktor kaum sebagai punca dan telah menahan reman pemandu terbabit dan isterinya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS