Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim akan syor sekali lagi semakan semula pengenalan tulisan Jawi
Diterbitkan:  Aug 12, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau akan sekali lagi mengusulkan semakan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu Darjah 4 di sekolah vernakular tahun depan.

Beliau berkata akan membangkitkan usul itu dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

"Saya akan bangkitkan sekali lagi...cadangan untuk semakan terhadap pelaksanaan seni khat Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4.

"Perkara ini akan dibangkitkan dan tiada kaitan berkenaan sama ada seorang menteri berkata - atau pun tidak berkata - yang ramai menteri tidak setuju ia diperkenalkan di sekolah rendah Cina dan Tamil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Lim selepas dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dalam wawancara bersama Bernama yang mendakwa kebanyakan anggota kabinet tidak setuju dengan pengenalan tulisan Jawi itu.

"Dalam kerajaan banyak menteri terkejut. Bagaimana ini boleh berlaku? Kami pun tidak menjangka.

"Sekiranya ia di bawa ke perhatian, kita boleh bincang dan memberitahu bantahan kita, tapi ia dilakukan secara tiba-tiba," katanya yang bertanggungjawab dalam portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.

Sejak hujung bulan lalu, rancangan memperkenalkan bab tulisan Jawi dalam pembelarajan Bahasa Melayu di sekolah vernakular mengundang pelbagai reaksi - sama ada bersetuju atau membantahnya.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan menetapkan ia akan dilaksanakan secara pilihan dengan juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Selain itu jumlah halaman dalam buku teks berkenaan tulisan Jawi juga dikurangkan daripada enam ke tiga muka surat, kata Maszlee.

Dalam pada itu, Lim berkata beliau telah membangkitkan perkara itu kepada kabinet pada 7 Ogos lalu, selepas pengumuman Kementerian Pendidikan itu.

"Minggu lalu menteri dari DAP telah membangkitkan perihal sentiman di kalangan masyarakat bukan Melayu yang tidak gembira dengan pelaksanaan itu atas sebab ia dibuat tanpa rundingan dengan pemegang taruh sekolah rendah Cina dan Tamil.

"Berikutan perkembangan terbaru dan rundingan dan maklum balas daripada orang awam, saya akan bangkitkannya sekali lagi di kabinet minggu ini," katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Sesetengah pemimpin DAP - antaranya pemimpin veterannya Lim Kit Siang - dibidas anggota parti itu kerana dilihat bersetuju dengan pengenalan tulisan Jawi itu.

Lihat Komen
ADS