Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salah Dr M gelar Dong Zong rasis, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 10:11 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata perdana menteri adalah salah apabila menggelarkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai rasis.

Bagaimanapun katanya Dong Zong juga salah apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi tahun 4 di Sekolah Cina dan Tamil sebagai permulaan Islamisasi.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad salah melabel Dong Zong sebagai “rasis”, tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun Empat di sekolah rendah Cina/Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi," katanya dalam satu kenyataan.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata terdapat 'teori konspirasi' bahawa isu tulisan Jawi didalangi oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik atau perdana menteri bagi tujuan politik tertentu.

"Pun begitu, hakikatnya, kontroversi subjek itu adalah warisan daripada kerajaan terdahulu kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baru untuk sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memperkenalkan subjek tulisan Jawi untuk murid-murid Tahun Empat pada tahun 2020 telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh menteri pendidikan dan dua timbalan menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September 2015.

"Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, hanya menyedari tentang perkara itu setelah kontroversi itu meledak bulan lalu," tambahnya.

Semalam Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata Maahthir kepada media dalam satu majlis ramah mesra di Langkawi.

Katanya sekiranya tiada perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018, subjek itu mungkin diwajibkan dan dimasukkan dalam peperiksaan di tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah kebangsaan jenis Cina dan Tamil.

"Berikutan interversi DAP dalam Kabinet, “Tiga Kehendak” telah menjadi “Tiga Penafian” - Tidak wajib, tidak perlu peperiksaan dan tidak perlu mempelajari/menulis jawi tetapi hanya sekadar pengenalan. 

"Terdapat cadangan untuk subjek itu dibatalkan di sekolah rendah Cina dan Tamil, meskipun telah diajar selama bertahun-tahun dalam buku teks murid Tahun Lima sekolah rendah Cina dan Tamil.

"Semasa saya berada di Salem, India pada minggu lalu, saya perhatikan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa ia masih “menerima pandangan pelbagai pihak untuk memastikan terdapat pertimbangan yang wajar” sebagai menunjukkan Kementerian Pendidikan masih terbuka untuk pandangan dan rundingan dari semua kumpulan dan pihak yang berkenaan dengan subjek tersebut," katanya

Lihat Komen
ADS