BERITA Malaysiakini

Kula gesa tindakan, naikkan isu Zakir Naik ke kabinet

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menggesa tindakan diambil terhadap pendakwah kontroversi, Zakir Naik kerana mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia beragama Hindu" di negara ini.

"Naik adalah orang luar yang melarikan diri dan mempunyai sedikit pengetahuan mengenai sejarah Malaysia, oleh itu, dia tidak sepatutnya diberikan keistimewaan sedemikian untuk merendahkan rakyat Malaysia, apa lagi mempersoal kesetiaan mereka kepada negara," kata Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.

"Tindakannya tidak mencerminkan status penduduk tetap dan ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet berikutnya," tambah beliau.

Beliau berkata Zakir mencipta keresahan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia dengan terus menikmati keistimewaan dengan mendapatkan sokongan masyarakat Islam.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan terbaru Zakir mendakwa masyarakat beragama Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi daripada Dr Mahathir Mohamad.

"Adakah Naik juga memanfaatkan polemik semasa yang berkaitan dengan bangsa dan agama di negara ini untuk kelangsungan hidup dan manfaatnya melalui wang pembayar cukai?.

"Malaysia adalah sebuah negara unik yang aman dan harmoni berbanding kebanyakan negara Islam kerana tindakan-tindakan hebat pemimpin-pemimpinnya untuk mengimbangi sejak merdeka.

"Undang-undang tertinggi negara adalah sekular dan mampu memastikan kebaikan bersama untuk semua," katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersatu dan mempertahankan kestabilan negara ini dengan mendedahkan strategi Zakir menggunakan sentimen agama dan kaum.

"Sudah tiba masanya untuk orang asing yang melarikan diri ini meninggalkan Malaysia dan menghadapi tuduhan keganasan dan dakwaan pengubahan wang haram di India," kata Kulasegaran.

Zakir, pemastautin tetap Malaysia dikehendaki di India atas tuduhan pengubahan wang haram. 

Kerajaan bagaimanapun enggan menghantar pulang pendakwah berkenaan kerana kebimbangan beliau tidak akan menerima perbicaraan yang adil.