Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM: 'Bukan saya luluskan syarikat bangunkan kereta nasional ketiga'
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 11:59 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bukan beliau yang meluluskan DreamEDGE Sdn Bhd menjadi syarikat utama untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga.

“Tetapi keputusan telahpun dibuat, jadi tidak ada apa-apa yang boleh saya katakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan presiden MCA Dr Wee Ka Siong bahawa kerajaan menipu tentang tidak melibatkan dana awam dalam projek itu.

Menurut Wee, 53 peratus daripada saham DreamEDGE dimiliki oleh VentureTech Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh sebuah syarikat kerajaan.

Mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau berpendapat bahawa ia berkemungkinan kerana DreamEDGE mempunyai keupayaan untuk melakukannya.

Menurutnya, hasrat kerajaan memperkenalkan projek kereta nasional ketiga itu adalah untuk merangsang industri automotif negara agar Malaysia tidak ketinggalan di belakang.

Dr Mahathir berkata industri automotif Malaysia tidak berada dalam prestasi yang baik manakala dunia telahpun beralih daripada enjin berasaskan minyak biasa kepada enjin hibrid dan elektrik.

"Jadi kita perlu membuat kemajuan. Jika anda ingin mengeluarkan kereta ketiga, sekurang-kurangnya perlu ada kereta berenjin hibrid.

"Iaitu ia perlu dipacu oleh bateri tetapi enjin perlu diletakkan untuk mengecas bateri. Dan ia akan membawa kereta itu mungkin sejauh 1,000 batu. Jadi kita sedang menuju ke arah itu,” katanya.

Walaupun ada sesetengah pihak merasakan Malaysia tidak memerlukan projek kereta nasional ketiga, Dr Mahathir berkata perniagaan kereta tidak statik, sama seperti industri penerbangan.

"Industri kejuruteraan itu sendiri perlu mendepani perkembangan baharu dan sekarang kita menggunakan pelbagai jenis peranti automatik, kita bercakap dengan kereta dan kereta bercakap kembali dengan kita,” katanya.

Ditanya mengenai kritikan terhadap keputusan kerajaan itu, Dr Mahathir berkata ia merupakan perkara biasa dalam politik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS