Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zakir dakwa ucapannya disalah petik
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 5:09 AM

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.

Membalas kritikan terhadap ucapannya itu, Zakir menjelaskan ada beberapa kumpulan Hindu di negara ini memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad, dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.

Kata Zakir hal itu bertentangan dengan hakikat bahawa Interpol, mahkamah India dan kerajaan Malaysia menolak tuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh kerajaan India.

“Rakaman ceramah saya akan mendedahkan bahawa realitinya adalah bertentangan daripada apa yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakir turut menyifatkan kecaman daripada pengkritiknya itu merupakan cubaan mempolitikkan ucapan yang dibuat dan ia boleh menjejaskan kehormanian di negara ini.

Dalam ucapannya di Kelantan baru-baru ini, Zakir mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Modi berbanding Mahathir walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Apa yang saya katakan adalah dalam konteks kes saya sendiri, beberapa kumpulan Hindu memilih untuk menyokong kerajaan Modi dalam permintaan ekstradisinya walaupun tidak ada bukti terhadap saya, dan walaupun mengikut fakta, Interpol, mahkamah India dan kerajaan Malaysia menolak tuduhan palsu yang ditujukan kepada saya,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa pengkritik memetik ucapannya luar konteks dengan tujuan supaya beliau ditangkap.

“Apa-apa percubaan untuk mencipta pertelagahan kaum adalah tidak adil terhadap rakyat Malaysia dan saya yakin insya-Allah, percubaan ini akan gagal,” katanya.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir.

Zakir yang kini bertaraf penduduk tetap Malaysia sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Mahathir bagaimanapun membantah ektradisi kerajaan India dan menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India selagi pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Berikut transkrip ucapan Zakir yang diterjemah ke bahasa Melayu:

Di India, kita orang Islam adalah golongan minoriti, kerajaan kata sebanyak 14.5 peratus. Kita orang Islam kira-kira 20-25 peratus, tetapi kita setuju dengan peratusan 14.5 peratus. Di sini (Malaysia) orang bukan Islam, Hindu seramai 6.3-6.4 peratus.

Orang Hindu di Malaysia dapat hak 100 kali ganda berbanding orang Islam di India. Bagus alhamdulillah. Saya tidak kata patut tarik balik hak mereka. Bagus, inilah yang orang Islam patut buat.

Peratusan mereka (penganut Hindu di Malaysia) separuh (daripada peratusan umat Islam di India). Daripada segi angka sangat kurang, separuh daripada peratusan di India, di mana orang Islam berada.

Tetapi hak mereka di sini 100 kali ganda lebih daripada hak yang India berikan kepada golongan minoriti. Amat banyak sehingga mereka sokong perdana menteri India tetapi bukan perdana menteri Malaysia.

(langkau)

Perdana menteri India mahukan saya. Perdana menteri Malaysia tidak mahu ketidakadilan menimpa saya. Hindu Malaysia kebanyakan mereka sokong perdana menteri India.

Tiada bukti. Interpol kata tiada bukti.

(langkau)

Mereka lebih percaya pada India. Mereka lebih kepada orang India daripada orang Malaysia dan mereka masih menikmatinya, alhamdulillah.

Lihat Komen
ADS