Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taikun dikecam kerana kata tentera hanya 'makan dan tidur'
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 3:29 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin dikecam hebat oleh pelbagai pihak ekoran kenyataannya yang mendakwa anggota tentera di negara ini hanya 'makan dan tidur.

Pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO turut menyelar kenyataan jutawan berkenaan yang disifatkan sebagai menghina pasukan angkatan tentera Malaysia (ATM).

Susulan itu,  Mejar (B) Razali Zakaria yang mewakili Gerakan Memartabat Pejuang Negara hari ini membuat laporan polis terhadap Koon di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Dalam laporan polis itu, Razali mendakwa Koon telah mencabar profesionalisme dan kredibiliti angkatan tentera dan menyemai kebencian terhadap pasukan itu.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong turut mengkritik kenyataan Koon.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau kelas ekonomi, sama ada awam atau tentera, berusaha untuk memahami peranan dan pengorbanan angkatan tentera, dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan," kata senator DAP itu.

Sementara itu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu turut mengecam kenyataan Koon.

"Kewujudan dan jasa mereka mungkin tidak dirasai secara sedar oleh Koon Yew Yin, namun tidak mungkin keamanan dan keselamatan negara hari ini berlaku melalui tangan ghaib melainkan ada pasukan keselamatan yang berkorban diri dan keselesaan mereka memastikan tanah air bebas dari ancaman musuh," kata ketuanya Mohd Hasbie Muda.

Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan pula berkata kenyataan Koon adalah satu penghinaan kepada seluruh angkatan tentera.

"Ini adalah contoh bagaimana seorang yang telah hidup kaya dan hidup selesa memperlekeh serta menghina kerja mulia anggota tentera yang sentiasa bersedia mempertahankan negara jika berlakunya apa-apa risiko keselamatan.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat PSM Sharan Raj berkata Koon perlu memohon maaf kerana kenyataan biadab tersebut.

Koon telah membuat kenyataan berkenaan menerusi blognya semalam bertajuk: "Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita".

Dalam tulisan tersebut beliau berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak.

Beliau juga mencadangkan agar anggota tentera dihantar untuk bertugas ke ladang-ladang Felda.

Lihat Komen
ADS