Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Public Bank catat untung rendah suku kedua
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Keuntungan bersih Public Bank Bhd menyusut kepada RM1.33 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 berbanding RM1.40 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas, berikutan kesan negatif daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR) 0.25 peratus pada Mei 2019.

Bagaimanapun, perolehan pada suku tersebut meningkat kepada RM5.60 bilion daripada RM5.44 bilion tahun ke tahun.

Bagi separuh pertama 2019, Public Bank mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM2.74 bilion berbanding RM2.80 bilion tahun ke tahun, manakala perolehan naik kepada RM11.17 bilion daripada RM10.79 bilion sebelum ini.

“Keadaan ekonomi dan perbankan adalah semakin mencabar. Selain itu, susulan pengurangan OPR pada Mei 2019, bank domestik mengalami penyusutan margin faedah bersih yang mempengaruhi keuntungan separuh pertama berakhir 30 Jun, 2019,” menurut Pengerusi Emeritus Tan Sri Dr Teh Hong Piow dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Public Bank mampu mengekalkan kestabilan keuntungan dengan sokongan daripada pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, kualiti aset yang stabil serta pengurusan kos yang cermat.

Public Bank terus mengekalkan nisbah pinjaman terjejas kasar yang kukuh pada 0.5 peratus dan nisbah kos ke pendapatan yang cekap iaitu 34.2 peratus yang membawa kepada pulangan bersih ekuiti yang berterusan berjumlah13.6 peratus bagi separuh pertama 2019.

Bagi separuh pertama 2019, jumlah pinjaman kumpulan Public Bank menokok pada kadar tahunan 4.0 peratus kepada RM323.7 bilion.

Pinjaman domestik yang merangkumi lebih 90 peratus portfolio pinjaman kumpulan tumbuh 4.3 peratus bagi kadar tahunan, lebih tinggi daripada pertumbuhan pinjaman tahunan sistem perbankan iaitu 2.7 peratus.

Bagi pembiayaan, kumpulan Public Bank mencapai pertumbuhan deposit yang kukuh dengan kadar tahunan 5.9 peratus kepada RM349.1 bilion, manakala deposit domestik tumbuh 5.7 peratus pada separuh pertama 2019.

Sehingga akhir Jun 2019, pembiayaan kumpulan itu kekal stabil dengan nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti di tahap baik sebanyak 78.9 peratus dan terus mencapai nisbah pinjaman terjejas kasar yang rendah iaitu 0.5 peratus.

Bagi enam bulan pertama 2019, nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1, nisbah Modal Tahap 1 dan nisbah jumlah modal Public Bank masing-masing pada 13.2 peratus, 13.6 peratus dan16.0 peratus.

- Bernama

Lihat Komen
ADS