Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan perluaskan bahasa Mandarin ketika Jawi jadi polemik

Ketika isu tulisan Jawi hangat diperbahaskan, kerajaan negeri Kelantan sebaliknya mahu memperluaskan pembelajaran bahasa Mandarin di sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya dalam perancangan memperluaskan lagi bahasa Mandarin kerana ia dianggap sebagai khazanah negara.

"Kelantan sendiri mempunyai sekolah agama yang memperkenalkan bahasa mandarin, termasuklah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), namun tidak bermakna kita berminat dan terpengaruh dengan agama mereka.

"Malah, kita sendiri dalam perancangan memperluaskan lagi bahasa Mandarin kerana ia dianggap sebagai khazanah negara bagi mempelbagaikan bahasa di negara ini," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bantahan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap usaha kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Malaysia bagi murid-murid tahun 4.

Kabinet kemudian memutuskan pembelajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Bagaimanapun Dong Zong tetap tidak bersetuju dan melancarkan petisyen membantah cadangan itu yang dianggap mereka sebagai langkah Islamisasi terhadap bukan Melayu.

Susulan itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu cadangan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Sementara itu Mohamed Fadzli berkata, usaha memperkasakan tulisan Jawi tidak perlu dijadikan sebagai 'api permusuhan', sebaliknya perlu diredakan oleh semua pihak.

Di Kelantan sendiri katanya, perkara sebegini tidak menjadi masalah bahkan subjek bahasa Mandarin diajar dan digalakkan kepada pelajar.

"Kita sendiri ajar subjek bahasa Mandarin di Kias dan beberapa buah sekolah agama YIK. Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) sendiri dulu galakkan belajar bahasa Mandarin.

"Malah kita sedang merancang untuk memperluaskan lagi subjek bahasa. Mandarin di sekolah-sekolah. Ini dalam perbincangan dan perancangan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS