Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sudah sampai masa Dr Mahathir berundur, kata MP PKR
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 5:49 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mencadangkan Dr Mahathir Mohamad supaya meletak jawatan selepas apa yang didakwanya perdana menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

“... Saya berpendapat masa sudah sampai untuk Dr Mahathir berundur sebagai perdana menteri.

“Beliau sudah jelas kelihatan tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, beliau adalah antara ahli parlimen yang turut menandatangani surat sokongan kepada Mahathir untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu dan menegaskan sumbangan negarawan berusia 94 tahun itu akan tetap dikenang dan dihormati.

Hassan berkata cadangannya adalah demi kepentingan PH yang ketika ini berdepan isu-isu yang membabitkan bangsa, agama dan raja-raja yang pada masa lalu pernah menyebabkan perpecahan gabungan parti-parti seumpama itu  sebanyak tiga kali.

Anwar sebagai tenaga pengerak

“Perkembangan terkini dalam tanah air dengan munculnya isu-isu yang banyak untuk memecahbelahkan rakyat, maka sudah sampai masanya proses peralihan jawatan perdana menteri dari Dr Mahathir kepada (Presiden PKR) Anwar Ibrahim dapat dilaksanakan dengan segera sekarang ini sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan hendak diselamatkan,” katanya.

Hassan berkata dengan usaha Anwar sebagai tenaga penggerak beliau berjaya menyatukan parti-parti bukan BN yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sebelum ini.

Katanya, parti Semangat 46 menjadi semakin ektrem selepas pilihan raya 1995 sehingga menyaksikan Gagasan Rakyat pada masa itu yang terdiri daripada Semangat 46, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Barisan Progresif India (IPF) gagal bersatu menjelang pilihan raya negeri Sarawak dan menangani isu-isu perkauman.

Gagasan Rakyat akhir berpecah dan terkubur.

Begitu juga, Hassan berkata Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, DAP, PRM dan Parti Keadilan Nasional terpaksa dibubarkan, juga menjelang pilihan raya negeri Sarawak apabila PAS dan DAP berbalah secara terbuka dalam isu-isu yang melibatkan kaum dan agama.

“Selepas bebas dari penjara Anwar Ibrahim telah menjelajah ke seluruh tanahair untuk membina gabungan parti-parti pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.

“Usaha gigih Anwar itu membina asas Pakatan Rakyat dan buat pertama kali dalam pilihan raya umum ke-12 tahun 2008 itu Barisan Nasional hillang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Kelantan.

“Anwar Ibrahim muncul sebagai tenaga yang menyatukan parti-parti pembangkang pelbagai kaum dan agama," katanya.

Mahathir perlu berjiwa besar

Hassan berkata Anwar kemudiannya sekali lagi dipenjarakan dan Pakatan Rakyat berjaya dihancurkan, juga sebelum pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan PAS menjadi semakin ektreme dalam isu-isu berkaitan kaum dan agama.

“Kini isu 3 R muncul kembali di persada politik Malaysia, iaitu isu kaum, agama dan raja.

“Yang terkini dilihat Dr Mahathir selaku pengerusi Pakatan Harapan dan perdana menteri kerajaan persekutuan sudah seperti hilang punca dan hilang daya untuk menghadapi kritikan-kritikan dari pelbagai pihak.

“Untuk selamatkan kerajaan Pakatan Harapan, saya percaya tiada jalan lain ketika ini untuk elakkan PH supaya jangan pecah menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi seperti apa yang berlaku pada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Saya berharap dan memohon supaya Dr Mahathir yang berjiwa besar mengambil langkah yang berani seperti Sir Winston Churchil, perdana menteri Britain yang berundur selepas berjaya membawa Britain dan pihak berikat memenangi Perang Dunia Kedua mengalahkan kuasa paksi Fasis Jerman dan Jepun dan menyerahkan kuasa perdana menteri kepada pemimpin yang lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS