Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Baru-baru ini, saya ditanya tentang sikap saya terhadap Dr Zakir Naik yang tinggal di Malaysia. Semasa soalan ini dilontarkan, banyak perkara yang saya fikirkan. Antara yang paling besar adalah tiga perkara:

  • Status Dr Zakir Naik bukan warganegara Malaysia
  • Soal dakwah yang telah dilakukan oleh Dr Zakir Naik sejak sekian lama.
  • Soal hubungan sesama warganegara Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama.

Maka saya mengharmonikan tiga perkara ini dengan menyatakan pendapat seperti berikut:

Pertama

Kita tidak boleh menafikan kehebatannya mematahkan hujah kalangan mereka yang tidak beragama Islam, walaupun ramai penganut lain menjelaskan bahawa hujah beliau itu sekadar mendiamkan mulut pelawan hujahnya, bukan kerana hujah beliau itu tepat.

Saya pernah mendengar kupasan daripada kawan-kawan yang beragama hindu dan kristian, bahawa hujah Dr Zakir Naik itu tanpa menggunakan kaedah pemahaman kitab Hindu atau Bible yang sebenar, tetapi beliau mengupasnya berdasarkan pendekatan literalis yang memang kaedah terkenal bagi mereka daripada aliran Wahabisme.

Maka untuk menjelaskan hujah Dr Zakir Naik, ia perlukan masa yang panjang - untuk menjelaskan kaedah pemahaman teks Hindu terlebih dahulu, baru dapat menjelaskan cara pemahaman yang sebenar terhadap kitab suci mereka itu. Ia sudah pasti tidak cukup dalam kadar masa debat sahaja.

Saya memahami komentar mereka, seperti mana saya memahami perdebatan IS terhadap beberapa ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad yang merupakan kajian Phd saya - Mereka mengutip teks-teks Islam itu tanpa menggunakan kaedah pemahaman yang benar, menyebabkan ayat Al-Quran dan hadis ditafsirkan sebagai halal untuk melakukan keganasan.

Namun secara dasarnya, jasa Dr Zakir Naik dalam dakwah tidak boleh dinafikan. Secara peribadi, saya hargainya.

Kedua

Dalam mematahkan hujah, kita tidak boleh lari dari satu lagi unsur - apa yang saya istilahkan sebagai "patahkan hatinya".

Saya kira, pendekatan mematahkan hati ini adalah pendekatan yang banyak dilakukan oleh Nabi Muhammad berbanding mematahkan hujah.

Contoh yang saya dapati wujud sekarang adalah pendekatan Ustaz Ebit Liew. Dengan nada suara yang penyayang dan membawa slogan "Allah sayang" dan watak yang lembut, pendekatan beliau tidak memerlukan kepada hujah intelektual dan pembacaan yang banyak, tetapi ternyata dapat menjadikan ramai pendosa menitik air mata dan berhenti daripada melakukan dosa.

ketiga

Kita perlu menerima realiti bahawa masyarakat Malaysia wujud dengan kepelbagaian kaum dan agama. Ini kita kecapi secara aman dan damai. Jika ada sedikit kekacauan, kita berjaya hadapinya - kadang kala dengan baik, kadang kala kurang baik.

Pada saya, itu perkara biasa sebagai manusia yang Tuhan sendiri kata dalam Al-Quran: "diciptakan manusia itu dengan kelemahan".

Namun begitu, kita tidak boleh nafikan apabila undang-undang negara membenarkan agama Islam disebarkan sedangkan agama lain tidak boleh disebarkan - ia sedikit sebanyak mencetuskan unsur tidak puas hati di kalangan masyarakat bukan Islam.

Maka pendekatan semata-mata mematahkan hujah agama selain Islam seperti yang digunakan Dr Zakir Naik sudah pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dalam memastikan hubungan kaum dan kalangan yang berbeza agama di Malaysia. Apatah lagi ia membawa suasana tidak selesa sesama warga.

Maka untuk memastikan Dr Zakir Naik relevan di Malaysia, saya mencadangkan bahawa pendakwah dari India itu bukan sekadar menggunakan pendekatan "mematahkan hujah", tetapi perlu juga pendekatan "mematahkan hati" manusia sepertimana pendekatan Ustaz Ebit Liew.

Semasa saya memberi pandangan itu, Dr Zakir Naik tidak mempertikaikan keberadaan kaum-kaum selain Melayu dam penganut agama selain islam di Malaysia.

Tetapi, apabila saya membaca berita ini (Suruh ‘tetamu lama’ Cina balik dulu - Zakir Naik) , saya agak terkejut. walaupun beliau mungkin boleh menafikan ada mengeluarkan kata-kata sedemikian, tetapi kenyataan ini sedikit sebanyak telah memberi "luka" kepada warga Malaysia.

Mereka ialah warganegara yang sah, sedangkan Dr Zakir Naik tidak. Mereka adalah keluarga besar kami (sebagai warga), sedangkan Dr Zakir Naik umpama tetamu yang kami perlu hormat.

Pada saya, sebagai tetamu dan bukan warga, tidak wajar beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu - mempersoalkan kewarganegaraan masyarakat Cina dan India. Tindakannya sudah pasti membawa keburukan kepada beliau sendiri.

Saya harap, komen saya ini tidak melahirkan kemarahan dari rakan-rakan saya yang rapat dengan Dr Zakir Naik. Mungkin mereka perlu memaklumkan kepadanya bahawa perkara ini amat sensitif dan tidak wajar disentuh olehnya.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS