Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC: Produktiviti, beban kerja di M'sia tinggi tapi gaji rendah

Sektor pekerjaan di Malaysia mempunyai produktiviti yang tinggi namun gaji yang diberikan majikan kepada pekerja pada kadar rendah, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata, perkara itu merupakan masalah utama yang dihadapi oleh Malaysia dalam sektor pekerjaan.

“Kalau kita lihat macam Jepun, Singapura mereka semua memang negara yang produktiviti itu tinggi namun bayaran diberikan kepada pekerja juga tinggi dan tidak terbeban.

“Apabila kita berdiri seiring dengan tangga (gaji) itu dan melihat kepada ekonomi, itu menunjukkan tidak baik buat negara kita sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengikut kajian yang dijalankan Kisi, Malaysia diletakkan di tangga keempat negara yang mempunyai beban kerja seiring dengan negara Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat.

Kedudukan tersebut diukur mengikut keseimbangan kerja, jumlah cuti diberikan, jam bekerja, pulangan gaji dan banyak lagi.

“Malaysia mempunyai beban kerja berlebihan kerana ada syarikat yang menyuruh pekerja untuk bekerja lebih masa.

“Jadi ini adalah antara masalah utama dalam sektor pekerjaan di negara yang sedang kita hadapi,” kata Abdul Halim lagi.

Tambah Abdul Halim, tindakan pihak kementerian sumber manusia yang membuka ruang kepada pekerja asing juga antara sebab pekerja terbeban.

“Ini kerana, graduan yang menggangur kini kurang mendapat pekerjaan dan terpaksa bekerja dengan gaji yang tidak setimpal buat mereka,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata kerajaan tidak boleh mengabaikan manifesto PH yang sebelum ini berjanji untuk membenarkan pelarian di negara ini bekerja.

Kata Kulasegaran, meskipun belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu namun ada suara meminta kerajaan menimbang semula manifesto berkenaan.

"Jika anda tanya saya secara peribadi, ya saya fikir kita patut benarkan mereka bekerja di sini, sekurang-kurangnya sehingga mereka berpindah ke negara ketiga," katanya.

Janji 35 dalam manifesto PH menyatakan kerajaan akan mengabsahkan status mereka yang mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja.

Mengulas lanjut, Abdul Halim juga menggesa agar pihak kementerian segera mencari jalan agar dapat menstabilkan jumlah beban pekerjaan.

“Kementerian harus mencari satu formula bagi menstabilkan beban kerja yang mereka (pekerja) sedang lalui.

“Ini harus dilakukan agar pekerja mendapat hak dan juga beban yang mereka keluarkan untuk bekerja itu berbaloi,” katanya.

Selain itu, Abdul Halim turut menyenaraikan beberapa pekerjaan yang mempunyai beban kerja paling tinggi dalam sektor pekerjaan di Malaysia.

“Bagi saya pekerjaan yang mempunyai jumlah beban kerja paling tinggi adalah pekerja yang kerja ikut syif seperti doktor, pekerja buruh kasar dan pekerja yang terlibat dalam sektor perkilangan,” katanya.

Lihat Komen
ADS