BERITA Malaysiakini

'Aku pisahkan kepala babi kau dari badan kau' - Peguam diugut isu Zakir Naik

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Peguam Syahredzan Johan membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang diterimanya daripada seorang pengguna media sosial susulan kenyataannya berhubung pendakwah kontroversi Zakir Naik.

Syahredzan memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa laporan polis dibuat 11.55 pagi tadi di balai polis Dang Wangi.

Dalam perkongsian di Twitter, Syahredzan berkata mesej ugutan berkenaan diterimanya semalam di Facebook.

"Jadi saya mendapat ini di Facebook. Tidak pasti apa kuasa yang dia fikir saya ada," kata Syahredzan yang berkongsi tangkap layar mesej yang dimaksudkannya.

Mesej itu berbunyi: "Kau usir Zakir Naik, aku akan cari kau sampai dapat dan aku akan pisahkan kepala babi kau tu dari badan kau. Ini sumpah kau demi agama Islam dan bangsa Melayu. Kalau berani cubalah."

Ketika dihubungi, Syahredzan mengakui bahawa dia terkejut dengan mesej berkenaan dan berharap ia sekadar ugutan kosong.

"Saya terkejut bahawa seseorang akan pergi berkata demikian, saya tidak meminta Zakir dihantar pulang atau diekstradisi. Saya hanya mencadangkan supaya status penduduk tetapnya dibatalkan.

"Mudah-mudahan ia cuma ancaman kosong dari penyokong yang beremosi," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Syahredzan mencadangkan agar status penduduk tetap (PR) Zakir dibatalkan susulan kenyataan pendakwa itu baru-baru ini yang dianggap menghina masyarakat Cina dan India di Malaysia.

"Ada pihak yang risau jika beliau dihantar pulang ke India, beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil untuk pertuduhan terhadapnya. Juga ada kekhuatiran bahawa nyawa Dr Zakir Naik mungkin dalam bahaya jika pulang ke negara asal.

"Untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini itu, kerajaan boleh dengan secepat mungkin membatalkan status PR yang dimilikinya. Dengan cara ini, Dr Zakir Naik boleh dengan sendiri mencari negara lain yang dapat memberi perlindungan kepadanya dan meninggalkan Malaysia," kata Syahredzan dalam kenyataan itu.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.


Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami