Seramai 100 kaum Melayu telah membuat permohonan pertukaran nama dalam MyKad kerana pertukaran agama dan 10 peratus daripadanya telah diluluskan.

Manakala empat peratus daripada permohonan tersebut telah ditolak manakala 86 peratus lagi sedang diselidik.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (foto kanan) dalam jawapan bertulisnya kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Bernama, Teresa (foto) ingin tahu mengenai bilangan yang meminta nama mereka ditukar dalam MyKad atas alasan agama.

Menurut Radzi, 9,788 permohonan untuk menukar nama dalam MyKad kerana bertukar agama telah diterima kerajaan dari tahun 2001 hingga 2005.

Daripada jumlah itu, 7,443 permohonan diluluskan, 107 ditolak dan 2,238 lagi sedang diselidik, katanya.

Katanya, dari segi pecahan kaum, permohonan pertukaran nama kerana pertukaran agama bagi tempoh itu di kalangan kaum Melayu ialah 100 dan 10 peratus diluluskan, empat peratus ditolak dan 86 peratus diselidik.

Sebab diselidik

Radzi berkata, sebanyak 1,436 permohonan diterima daripada kaum Cina untuk tujuan yang sama di mana 75.5 peratus diluluskan, 0.8 peratus ditolak dan 23.7 peratus diselidik.

Bagi kaum India pula, kerajaan menerima 1,509 permohonan di mana 51.3 peratus diluluskan, 2.9 peratus ditolak dan 45.8 peratus diselidik.

"Bagi lain-lain kaum, 6,743 permohonan telah diterima dengan 82.7 peratus dilulus, 0.7 peratus ditolak dan 16.6 peratus diselidik," katanya.

Mengenai pecahan permohonan mengikut agama, Radzi berkata pihak kementerian tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Menyentuh permohonan pertukaran nama dalam MyKad yang diselidik, Radzi berkata ia disebabkan pemohon tidak mengemukakan dokumen yang diminta Jabatan Pendaftaran Negara.

"Pemohon telah dimaklumkan melalui surat supaya mengemukakan dokumen itu dan selagi maklum balas daripada pemohon tidak diperolehi, permohonan itu tidak akan dapat diselesaikan," katanya.