Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin semalam atas kenyataannya yang antara lain menyifatkan anggota tentera negara ini hanya "makan dan tidur.

Presidennya, Azih Muda berkata ini kerana kenyataan maaf itu tidak dibuat secara menyeluruh.

“Walaupun telah menarik balik kenyataan beliau, tetapi dia tidak menarik balik kenyataan menghina penjawat awam yang lain. Dia menyentuh bahawa penjawat awam ini perlu dibuang kerana kesal wang cukai yang mereka bayar digunakan untuk penjawat awam.

“Apakah matlamat beliau serang perkhidmatan awam? Sedangkan perkhidmatan awam yang ada sekarang kita dah bahagikan kepada beberapa cabang tentera, polis, guru, dan bakinya hanya ada 400 ribu sahaja.

“Siapa yang nak kena buang? Nak kecilkan anggota perkhidmatan awam, apa yang kita nak beri kepada rakyat? Kenapa sekarang? Apakah isyarat yang ada sebenarnya? Soalnya dalam sidang media di Wisma Cuepacs, Kuala Lumpur, hari ini.

Azih berkata demikian menyentuh artikel Koon yang bertajuk "My Proposal For The Reduction And Improvement Of Our Civil Service" yang dimuat naik di blog beliau pada 12 Ogos 2019 dan telah dipetik oleh portal berita Air Times pada 13 Ogos 2019 dengan menggunakan tajuk ‘Askar hanya makan tidur, tak pernah menembak, baik kerja ladang Felda.’

Dalam artikel tersebut, Koon telah menyuarakan pandangan berkaitan saiz penjawat awam yang besar dan mengakibatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat pada setiap tahun, perbelanjaan pencen kakitangan awam dan komposisi pengisian kakitangan awam yang tidak seimbang berdasarkan kaum.

Mengulas lanjut, Azih berkata kenyataan tersebut jelas sangat tidak bertanggunjawab.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 132, tentera juga adalah perkhidmatan awam dan sudah tentulah kenyataan itu akan melibatkan Yang Dipertuan Agong yang merupakan turus angkatan tentera dan negara.

“Kita tidak boleh bermain dengan perkara begini secara berterusan. Kami anggota perkhidmatan awam tak ada agenda yang bertindih dan berlapis sebagainya. 

"Kami bekerja kepada government of the day, kami berkhidmat kepada rakyat dan dalam kumpulan perkhidmatan awam ini kita bahagikan kepada pelbagai kumpulan,” tegasnya.

Ekoran daripada itu, Azih turut mengingatkan Koon bahawa penjawat awam juga ada perasaan yang perlu dijaga.

“Saya nak menyeru kepada penjawat supaya setiap penjawat awam menulis nama Koon Yee Yin ini dalam diari masing-masing sebagai ingatan bahawa Yew Yin pernah nyatakan sedemikian kepada penjawat awam.

“Kita buatlah kenang-kenangan, untuk kita ingat. Pesan kita bahawa kita sebagai penjawat awam juga ada perasaan. Sebab kita bekerja bukan atas kepentingan diri kita, bukan atas kepentingan peribadi kita. Tetapi kita berkhidmat kerana negara,” katanya.

Semalam, pengasas Gamuda itu telah meminta maaf atas kenyataannya, berkata kecaman yang diterimanya mungkin kerana caranya mengeluarkan kenyataan itu tidak disenangi sesetengah pihak.

"Saya meminta maaf jika saya menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan," katanya seperti dipetik Utusan Online.

"Sepatutnya saya berkata pasukan tentera diperlukan ketika perang untuk mempertahankan negara. Ketika keadaan negara aman, mereka sepatutnya melakukan kerja lain untuk meningkatkan ekonomi negara kita.

"Namun ada pihak yang tidak suka dengan cara saya memperkatakan tentang anggota tentera," katanya lagi

Kenyataan Koon telah mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang menyifatkan kenyataan itu menghina menghina pasukan angkatan tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong pada 13 Ogos lalu menyifatkan kenyataan Koon sebagai satu salah faham terhadap angkatan tentera dan perlu diperbetulkan.

Pada masa aman, kata Liew, tentera berperanan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi antarabangsa.

"Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara. Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan.

"Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir," katanya.

Lihat Komen
ADS