Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan ambil tindakan jika Zakir Naik berucap di Perlis
Diterbitkan:  Aug 16, 2019 2:13 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Pihak polis melarang pendakwah kontroversi Zakir Naik berucap pada program Malaysia Revert Camp @ Perlis 2019 yang berlangsung sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar berkata, adalah lebih baik bagi Zakir dan keluarganya tidak terlibat dalam acara anjuran One Centre Malaysia itu berikutan lebih 150 laporan polis telah dibuat terhadapnya.

Revert atau kembali kepada asal adalah istilah yang digunakan terhadap individu yang memeluk Islam.

"Zakir boleh datang ke Perlis, tetapi dia tidak boleh berucap dan tindakan akan diambil terhadapnya jika dia berbuat demikian.

"Kita adalah sebuah negara berbilang kaum dan sensitiviti orang lain perlu diambil kira," katanya kepada pemberita di Kangar, lapor The Star Online.

Beliau berkata sekiranya Zakir mahu menyampaikan ceramah pada masa akan datang, pihak berkuasa perlu diberi notis 10 hari dan dimaklumkan mengenai perkara itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan pihak penganjur agar tidak melibatkan Zakir dan keluarganya dalam program berkenaan yang turut menampilkan tokoh-tokoh mualaf.

Dikatakan program itu merupakan perhimpunan mualaf terbesar di Malaysia dan turut menjemput isteri pendakwah berkenaan serta tiga orang anaknya.

Zakir, yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia, mencetuskan kontroversi apabila menyentuh mengenai masyarakat beragama Hindu ketika berucap dalam satu majlis di Kelantan minggu lalu.

Kenyataan itu mendorong beberapa menteri dan pelbagai pihak menggesa beliau diusir keluar dari negara ini.

Bagaimanapun pendakwah berkenaan yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang haram, mendakwa kenyataannya diambil di luar konteks.


Lihat Komen
ADS