Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Robert Kuok cerita tentera Jepun rogol, bunuh rakan sekelas
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 8:41 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

Jutawan kelahiran Malaysia, Robert Kuok tanpa berselindung menceritakan kisah rakan sekelasnya dirogol tentera Jepun dalam wawancara bersama akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun ketika memperincikan keganasan pendudukan tentera itu di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua.

Kuok, 95, memberitahu akhbar berkenaan bahawa beliau memberikan wawancara itu kerana ramai orang Jepun tidak tahu mengenai kebenaran tentang kekejaman yang tidak ditulis dalam buku teks sekolah mereka.

Kuok sendiri merasai keperitan hidup di zaman pendudukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945, dan memberitahu ramai orang yang beliau kenali telah dibunuh dan diperkosa ketika itu.

"Di sebuah bandar yang dikenali sebagai Ulu Tiram, kira-kira 30 batu (50 kilometer) dari Johor Bahru di mana saya pernah tinggal, sekumpulan keluarga Eurasia dibunuh.

"Selepas Jepun menyerang Malaya, kira-kira 80 atau 90 orang orang Eurasia berlindung di bandar ini kerana ia mempunyai sebuah gereja Roman Katolik yang kecil.

"Pada suatu hari, beberapa orang tentera Jepun telah menyentuh gadis-gadis Eurasia. Marah dengan tingkah laku ini, orang-orang Eurasia mengambil revolver mereka dan meminta mereka untuk menghentikan kegilaan itu.

"Orang Jepun beredar tetapi selepas beberapa hari, mereka datang pada satu petang dengan tiga lori tentera, yang kira-kira mungkin 60 atau 80 orang, mengepung seluruh kawasan itu dan membunuh semua orang.

"Salah seorang mangsa adalah kawan rapat saya. Dia seorang India yang rapat dengan keluarga Eurasia itu dan dia berada di sana pada masa itu. Sekitar 15 atau 20 orang yang saya tahu, termasuk guru sekolah saya, terbunuh dalam insiden ini," katanya dalam wawancara itu.

Pada masa itu, kata Kuok, dia berada di ladang nanas di mana keluarganya melarikan diri untuk berlindung.

 

"Kami melewati Ulu Tiram kira-kira 10 hari selepas insiden itu. Di sana saya melihat dua lelaki kurus yang dilihat tidak mengenali sesiapa, mereka terus bercakap tentang apa yang telah mereka lihat. Mereka seperti hilang akal daripada pembunuhan beramai-ramai yang mereka lihat."

Kuok berkata terdapat banyak pembunuhan dilakukan tentera Jepun.

"Teman-teman sekelas saya di sekolah Cina di Johor Bahru juga dibunuh. Salah seorangnya anak perempuan kepada pengasas "Tabung Bantuan China".

"Tabung ini dimulakan oleh Tan Kah Kee dan ia mengumpul wang untuk didermakan ke China bagi bantuan perang.

"Ketika saya kembali ke Johor Bahru dari ladang, saya pergi mencari rakan sekelas saya dan diberitahu mereka telah dirogol, dibunuh secara kejam dan dikebumikan di padang sukan bersama seluruh keluarganya. Hanya dua anak lelaki yang dihantar ke sekolah-sekolah di China, selamat."

Kuok berkata semasa perang, beliau bekerja di Mitsubishi Shoji, sebuah syarikat perdagangan dan mempelajari bahasa Jepun dengan buku teks berjudul "Nihongo Made Easy".

Beliau berkata bos Jepunnya adalah seorang lelaki hebat yang ketika itu membenci apa yang sedang berlaku.

"Tentera Jepun kata mereka datang untuk mewujudkan “Kawasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya”. Tetapi 'kemakmuran' itu bermakna Jepun mengambil 90 peratus dan kamu 10 peratus.

"Jepun adalah negara yang jujur, rakyatnya rajin. Mereka hanya mahu menjalani kehidupan yang baik, tetapi disesatkan oleh individu yang memiliki pemikiran penjenayah.

"Harapan saya perbuatan buruk yang dahsyat itu jangan dilakukan lagi," kata Kuok dalam temu bual itu.

Lihat Komen
ADS